Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menerangkan kenikmatan yang disediakan kepada orang yang beriman kepada-Nya dan rasul-Nya serta melakukan kebaikan yang diperintahkan, Dia menunjukkan apa yang disediakan kepada penderhaka sebagai balasan dosa-dosa mereka.
Dia juga menjelaskan keadaan orang kafir menghadapi orang yang beriman di dunia dan bagaimana orang beriman menghadapi orang kafir di akhirat kelak sebagai balasan terhadap sikap mereka di dunia dahulu.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman.
Syed Qutub berkata: Mereka mengejek dan ketawakan orang mukmin sama ada kerana keadaan hidup mereka yang miskin dan derita, kerana kelemahan mereka untuk menolak ejekan dan sendaan itu atau kerana orang-orang mukmin itu tidak menghiraukan tindak tanduk mereka yang jahil.
Semuanya itu menimbulkan gelak ketawa orang yang berdosa. Mereka telah menjadikan orang mukmin itu bahan ketawa, ejekan, gurauan dan sendaan.
Mereka melakukan tindakan jahat ke atas mereka kemudian ketawa melihat kesusahan yang menimpa orang yang beriman itu. Namun, orang mukmin tetap sabar dan mematuhi adab sopan.
Firman Allah SWT: Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya).
Al-Maraghi berkata: Apabila orang kafir melalui perkumpulan orang mukmin, mereka mengetawakan orang mukmin serta memburukkan dan mengejek mereka.
Firman Allah SWT: Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira. Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!
Ibn Kathir berkata: Maksudnya ketika orang yang berbuat dosa itu kembali ke rumah mereka, maka mereka akan kembali dalam keadaan sedang gembira. Maksudnya apa pun yang mereka cari pasti mereka mendapatkannya.
Oleh yang demikian, mereka tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan kepada mereka. Justeru, mereka sibuk menghina dan dengki kepada orang mukmin. Maksudnya mereka berada dalam agama yang bukan agama mereka.
Firman Allah SWT: Pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang yang beriman itu!
Al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak mengutus orang kafir untuk menjadi pengawas kepada orang yang beriman. Dia juga tidak memberi kekuasaan kepada mereka untuk mengamati perbuatan mereka serta mengajar yang batil dan yang benar.
Oleh itu, mereka tidak boleh mencela apa yang mereka percayai sebagai kepercayaan sesat menurut fikiran mereka yang rosak itu. Mereka hanya diperintah memikirkan diri sendiri sehingga dapat memperbetulkan kesalahan mereka.
Jika mereka dapat mengerjakan perkara itu pasti mereka mampu mengerjakan kewajipannya dalam kehidupan di dunia ini. Kemudian Allah SWT menyebutkan perlakuan orang beriman kepada mereka pada hari kiamat, untuk menghiburkan mereka daripada penderitaan dan keteguhan serta balasan kerana kesabaran mengembangkan cahaya iman.
Firman Allah SWT: Maka pada hari ini, orang yang beriman pula tertawakan orang yang kafir itu. Sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya).
Syed Qutub berkata: Maksudnya pada hari ini orang kafir dihijabkan daripada Allah SWT, mereka terseksa dengan hijab yang menghilangkan sifat insaniah mereka, kerana itu mereka dimasukkan ke dalam neraka dengan penuh sendaan dan penghinaan.
Firman Allah SWT: (untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): Bukankah orang yang kafir itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?
Ibn Kathir berkata: Maksudnya apakah orang-orang kafir itu akan diberi ganjaran atau tidak atas apa yang mereka lakukan terhadap orang mukmin berupa caci maki dan penghinaan?
Maksudnya mereka telah diberi balasan dengan azab yang paling lengkap lagi sempurna.
Syed Qutub berkata: Al-Quran mewujudkan hati-hati yang disediakan untuk memikul amanah dakwah. Hati itu pastilah tabah, kuat dan ikhlas iaitu ia berjuang dan berkorban bukan mengharapkan sesuatu faedah dunia.
Ia tidak menunggu sesuatu yang lain melainkan akhirat. Ia tidak mengharapkan sesuatu apa melainkan keredaan Allah SWT.
Itulah hati yang bersedia untuk meneruskan perjalanan mereka dalam kepayahan, kesusahan, pengharaman, keseksaan, pengorbanan dan penderitaan tanpa mengharapkan balasan yang cepat di bumi dalam bentuk kemenangan dakwah, kejayaan Islam dan keunggulan umat Islam.
Apabila hati ini telah diwujudkan iaitu hati yang tahu di dalam perjalanan mereka di bumi tiada kewajipan lain di hadapan mereka melainkan hanya masa balasan dan penyelesaian di antara yang benar dan batil.
Apabila hati ini telah diwujudkan dan Allah mengetahui kejujuran niat mereka untuk melaksanakan janji setia mereka, barulah kemenangan di bumi datang kepada mereka dan Allah menjadikan kemenangan itu amanah bukan kemenangan untuk mereka, tetapi membolehkan mereka memikul amanah agama Allah SWT.
Hati-hati seperti inilah yang layak menunaikan amanah Allah yang tidak menjanjikan apa-apa keuntungan. Hati-hati inilah yang tidak mengharapkan apa-apa faedah dunia.
Mereka benar-benar jujur kepada Allah SWT sejak mereka tahu satu-satunya balasan untuk mereka adalah keredaan Allah SWT.
Semua ayat yang menyebutkan kemenangan dunia diturunkan di Madinah selepas itu iaitu selepas persoalan kemenangan ini berada di luar program orang mukmin dan di luar harapan dan cita-cita mereka kemudian.
Kemenangan itu sendiri datang kerana kehendak Allah SWT mahukan agama ini tegak di alam realiti hidup manusia dalam bentuk amali yang boleh dilihat generasi seterusnya.
MAN WAS CREATED TO OBEY THE COMANMENT OF ALLAH AND TO FOLLOW THE WAY OF HIS MESENGGER.
Thursday, July 15, 2010
Monday, July 12, 2010
Isyrak Mikraj
Memahami Israk dan Mikraj
![]() |
| Kefarduan solat yang dianugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW pada peristiwa Israk Mikraj. - Gambar hiasan |
SEPERTI yang telah kita mukadimahkan pada minggu lepas, untuk beberapa waktu kita akan memanfaatkan ruangan ini untuk menggali mutiara-mutiara hikmah daripada kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) tulisan al-Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki.
Oleh kerana kita sedang melalui bulan-bulan dan hari-hari yang istimewa dalam Islam, eloklah kita meneliti beberapa isi buku ini yang bertujuan memperbetulkan kefahaman kita tentang perbuatan menyambut hari-hari kebesaran dalam Islam.
Kita sedang berada dalam 'musim' Israk dan Mikraj. Kefahaman dan sikap masyarakat dalam melalui hari-hari ini memang berbeza malah mungkin juga bercanggah. Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya 27 Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan kalendar Islam.
Tidak kurang yang menyambut kedatangannya dengan penuh gembira dan bersemangat dengan mengadakan pelbagai majlis sambutan. Ada pula yang mempertikaikan kewajaran menyambutnya, seperti mana mereka menolak sambutan hari-hari kebesaran Islam yang lain.
Di akhir-akhir kitab Mafahim ini, pengarangnya ada menyentuh isu sambutan hari-hari kebesaran Islam. Di situ beliau berkongsi keyakinannya tentang kesepakatan ulama bahawa perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan khusus adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.
Beliau menghuraikan lagi, "Bagi saya, memanfaatkan peluang berkumpul bersama umat Islam dengan berdoa, bertawajjuh kepada Allah SWT, menagih limpahan anugerah, kebaikan dan keberkatan daripada-Nya adalah lebih besar daripada faedah hanya mengingati atau mengenang peristiwa tersebut.
Menggunakan kesempatan berkumpul bersama orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan dorongan kepada mereka ke arah kebaikan, adalah lebih utama daripada menegah, menolak dan mengingkari perkumpulan mereka dengan alasan yang tidak mendatangkan sebarang faedah.
Apa yang dapat disaksikan, penolakan dan pengingkaran mereka itu tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat. Setiap kali bertambah kuat pengingkaran dan penolakan terhadap perbuatan mereka, semakin bertambah kuat pula penerimaan mereka dan semakin tegas pegangan mereka terhadapnya hinggakan seolah-olah orang yang melarang perbuatan mereka merupakan pendorong dan penggalak untuk mereka melakukannya tanpa disedari.
Para cendekiawan dari kalangan ahli fikir dan pendakwah sangat berkeinginan untuk mendapatkan sebuah tempat mengumpulkan orang ramai bagi menyebarkan pandangan-pandangan mereka dan mengajak untuk menyertai barisan mereka.
Oleh kerana itulah, kamu dapat lihat, mereka selalu datang ke taman, kelab dan tempat-tempat umum yang biasa terdapat banyak perkumpulan orang untuk melakukan apa yang mereka ingin lakukan. Kami lihat, umat Islam sering berkumpul di dalam majlis-majlis bersempena hari kebesaran Islam dengan penuh minat, keazaman dan kesungguhan. Justeru, apakah yang wajib kita lakukan terhadap mereka?
Sesungguhnya menyibukkan diri dengan kerja-kerja mengingkari dan menolak hukum perkumpulan mereka dan sebagainya adalah sia-sia sahaja, bahkan merupakan suatu kebodohan dan kejahilan. Ini kerana, kita hanya mensia-siakan peluang besar dan melenyapkan kesempatan yang tidak mungkin menjadi baik sesuatu masa dengannya, kecuali dalam kesempatan seperti ini. Justeru, manfaatkanlah perhimpunan besar ini." (H. 961-963, edisi terjemahan Yayasan Sofa)
Sikap yang disarankan oleh pengarang kitab ini adalah lebih selamat dan selari dengan sangka baik terhadap Islam dan umatnya berbanding sikap menentang atau membidaahkannya. Beliau turut menulis khusus tentang keistimewaan Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra' wa Mi'raj Khayr al-Bariyyah (edisi terjemahannya ada dikeluarkan oleh murid kanannya di Malaysia, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan).
Buku ini menyarankan agar menggunakan semaksima mungkin peringatan terhadap Israk dan Mikraj itu untuk meningkatkan makrifah dan kasih terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Apakah ada perkara yang lebih baik bagi kita selain daripada itu? Dan betapa banyakkah rahsia-rahsia agung dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berpotensi membantu kita menggapainya.
Berkongsi keriangan dan kenangan manis Israk dan Miraj dengan insan yang paling kita kasihi ini terlebih wajar kita amalkan apabila mengenang bahawa anugerah Allah SWT kepada Baginda SAW juga adalah kurniaan bagi kita sebagai umatnya. Kefarduan solat yang dianugerahkan kepada Nabi pada malam tersebut juga adalah bagi kita dan merupakan keizinan untuk kita umat Muhammad SAW untuk turut berhubung dan berbicara dengan Allah SWT pada setiap hari.
Kemuliaan dan keutamaan Nabi SAW di sisi Allah SWT yang terzahir di malam itu tidaklah terbatas kepada diri Baginda SAW malah melimpah kepada kita umatnya sehingga kita dinobatkan sebagai umat yang paling mulia dan akan lebih dahulu memasuki pintu Syurga berbanding umat Nabi-nabi yang lain. Allahu akbar wa lillahil hamd!
Menginsafi betapa banyaknya faedah, rahsia, cahaya dan hikmah di sebalik sambutan hari-hari kebesaran Islam seumpama Israk dan Mikraj ini, tidak hairanlah jika Allah SWT sendiri telah menyenaraikannya sebagai antara tugas utama pengutusan para Rasul seperti yang tergambar dalam firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 5.
Semoga kita semua tersenarai di kalangan mereka yang benar-benar menunaikan hak peristiwa yang agung ini.
Tuesday, June 29, 2010
BAIAH AQABAH
Baiah Aqabah
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Perjalanan sejarah atau sirah Nabi Muhammad SAW sama ada sukar atau mudah untuk diikuti amat penting untuk kita ketahui. Malah kalau dapat didalami dan dikaji dengan lebih lanjut lalu dihayati, itu adalah lebih baik. Ini termasuklah kisah mengenai Baiah atau Perjanjian Aqabah. Secara ringkasnya ia merupakan perjanjian damai atau sumpah setia yang berlaku antara Nabi Muhammad dengan beberapa penduduk Yathrib (nama lama Madinah Al Munawarrah) yang datang menemui baginda di sebuah tempat atau bukit bernama Aqabah. Bukit itu terletak beberapa kilometer di utara Kota Mekah iaitu berdekatan dengan Mina.
Kita jangan keliru kerana terdapat sebuah perkampungan di timur laut Tebing Barat, Palestin juga dikenali sebagai Aqabah yang dirampas daripada penduduk Palestin untuk dijadikan sebuah kem tentera besar oleh rejim Israel.
Sebuah bandar di selatan Jordan juga bernama Aqabah, di samping kita menyebut Aqabah iaitu perbuatan ibadat haji iaitu melontar batu di Jamrah yang ketiga, iaitu Jamrah Al Aqabah.
Perjanjian Aqabah merupakan perjanjian pertama antara baginda dengan mana-mana pihak, sama ada dari dalam mahupun luar Kota Mekah. Ia melibatkan satu persefahaman untuk memberi ketaatan kepada Rasulullah.
Namun dari aspek sosial dan politik penduduk Arab, melakukan perjanjian damai antara kabilah dan sebagainya adalah biasa dilakukan. Telah menjadi adat dan tradisi mereka saling menyatakan sumpah setia kawan atau bersahabat baik bagi mencapai pelbagai tujuan dan matlamat tertentu.
Namun yang paling penting kedua-dua belah yang membuat perjanjian ini ikhlas untuk berbaiah, iaitu bukan kerana dipaksa dan sebagainya.
Di sebalik perjanjian ini, tentunya kita tertanya-tanya mengapa penduduk Yathrib dengan begitu mudah dan tanpa sebarang masalah menerima dakwah daripada Rasulullah? Hanya dengan satu pertemuan sahaja dengan baginda. Mereka seolah-olah seperti telah lama menunggu saat menerima dakwah baginda itu.
Persoalan ini memerlukan kita melihat situasi yang berlaku di Yathrib itu sendiri yang menjadi sebab musabab utama mengapa mereka dengan mudah memeluk Islam.
Komposisi penduduk di Yathrib terdiri daripada tiga kelompok yang besar, iaitu kaum Yahudi dan dua lagi kaum Arab yang terdiri daripada suku kaum al Khazraj dan Aus.
Kedua-dua puak Arab ini merupakan kaum yang menyembah berhala di Yathrib manakala kaum Yahudi dengan agama Yahudi mereka sebagai golongan ahli kitab yang mempercayai Kitab Taurat.
Menurut Hussien Haekal dalam bab Ikrar Aqaba dalam buku Sejarah Hidup Muhammad, kaum Yahudi dan dua suku Arab di Kota Yathrib itu tidak pernah hidup aman.
Persengketaan demi persengketaan yang membawa peperangan sering berlaku.
Sejarah mereka agak panjang iaitu melibatkan pelbagai punca terutamanya soal agama.
Menurut Haekal, apabila puak Nasrani yang mendiami Syam yang berada di bawah pengaruh Rom Timur (Baizantin) mereka terlalu membenci dan memarahi kaum Yahudi tanpa mengira di mana puak itu berada.
Mereka percaya kaum itu telah menyebab kematian Nabi Isa A.S, iaitu dengan cara menyeksa dan menyalib baginda.
Lalu kaum Yahudi yang sekian lama mendiami Yathrib turut menjadi mangsa kemarahan kaum Nasrani itu.
Namun cubaan untuk menghapuskan terus kaum Yahudi itu tidak pernah berjaya sehinggalah puak Nasara meminta bantuan daripada suku Arab Khazraj dan Aus, untuk membalas dendam.
Pun begitu, bukan sedikit penduduk Yahudi yang telah dibunuh oleh gabungan dua pihak yang bersekutu ini.
Namun kedudukan Yahudi semakin terancam apabila suku Arab itu sendiri ingin menyingkir kaum itu keluar dari Yathrib bagi membolehkan mereka memonopoli dan menguasai sepenuhnya bandar yang makmur dan subur dengan pelbagai hasil pertanian dan perniagaan itu.
Namun Yahudi yang menyedari niat suku Arab itu bertindak pantas dan bijak dengan melancarkan gerakan memecah belahkan suku-suku Arab tersebut.
Caranya dengan menciptakan pelbagai provokasi dan fitnah yang menyebabkan suku Khazraj dan Aus sering bertelagah sesama sendiri.
Gerakan licik dan halus oleh Yahudi itu benar-benar mengembalikan semula kedudukan mereka di Yathrib.
Soal keagamaan turut menyumbang kepada berlakunya perjanjian Aqabah apabila kaum Yahudi di Yathrib yang merupakan golongan ahli kitab dan mempercayai tuhan yang satu (monoteisme), sering mengejek-ejek dan mencela perbuatan suku Arab Khazraj dan Aus menyembah berhala.
Kaum Yahudi sering memperingatkan kepada mereka mengenai ramalan dalam Taurat mengenai kelahiran seorang nabi yang akan menyelamatkan kaum Yahudi.
Namun mereka tidak bermaksud untuk mengajak suku-suku Arab itu memeluk agama mereka.
Maka apabila suku Arab di Yathrib mendengar dan mengetahui mengenai seorang Nabi telah muncul di Kota Mekah menyebabkan mereka akhirnya mengakui kebenaran ramalan dari kitab Perjanjian Lama Yahudi itu.
"Agaknya inilah nabi yang disebut-sebut oleh orang Yahudi. Jadi, jangan sampai orang Yahudi mengetahui mengenai Nabi Muhammad itu dan kita mesti mendahului mereka untuk menerima kedatangan Nabi ini.
"Biar kita yang beriman terlebih dahulu, sebelum kaum Yahudi beriman terhadap Nabi itu, jika tidak hujung pangkal nasib kita tiada siapa yang tahu," kata puak-puak Al Khazraj dan Aus itu.
Tuesday, June 1, 2010
NABI BELAH BULAN
Kisah bulan terbelah dua
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
ainiza.kamsari@utusan.com.my
UMAT di zaman Rasulullah SAW dianggap sangat bertuah. Tidak sahaja mereka berpeluang bertemu dengan baginda namun yang lebih beruntungnya lagi dapat melihat sendiri segala kejadian-kejadian mukjizat yang Allah kurniakan kepada baginda. ainiza.kamsari@utusan.com.my
Ini termasuklah kejadian bulan terbelah dua, antara yang benar-benar berlaku dalam usaha Nabi Muhammad untuk menyakinkan kebenaran dakwah baginda itu.
Jika kita menjadi pengikut baginda ketika itu, tentu segala kejadian mukjizat yang berlaku akan menambahkan lagi keimanan atau kepercayaan kepada Allah SWT.
Namun, perkara seperti ini sukar diterima oleh puak-puak kafir Quraisy. Mereka tetap dengan sikap degil mereka.
Walaupun peristiwa Israk dan Mikraj tidak ada sebarang kesangsian, dengan segala macam bukti dan keterangan daripada al-Quran namun kedegilan tetap makin menebal!
Malah mereka sendiri kadang kala meminta baginda tunjukkan bukti! Kononnya dengan bukti tersebut mereka akan menyerah kalah kepada kebenaran.
Namun yang sebenarnya mempunyai niat yang busuk, kononnya Rasulullah tidak akan mampu menunjukkan sebarang bukti kerana yang diminta semuanya bersifat luar biasa dan tidak masuk dek akal.
Andai, bukti tersebut gagal ditunjukkan oleh baginda maka semakin galaklah mereka memusuhi dan mengeji Nabi.
Namun baginda tetap menyahut apa juga cabaran, asalkan mereka akhirnya percaya kepada keesaan Allah yang Maha Agung.
Iaitu pada suatu hari, sekumpulan pembesar Quraisy itu datang menemui baginda, iaitu di antara mereka termasuklah Al Walid Al Mughirah, Abu Jahal Hisham, Al As Wail, Al Aswad Muthalib, An Nadhru Al Harith.
Peristiwa ini dikatakan berlaku sebelum baginda melakukan hijrah ke Madinah dan diriwayatkan dalam banyak catatan sejarah sehinggalah mengikut sastera Melayu klasik sendiri, kisah bulan terbelah dua ini menjadi kisah-kisah penglipur lara yang popular.
Dalam Hikayat Nur Muhammad dan Nabi Bercukur dan Nabi Wafat misalnya, ada diceritakan mengenai kisah bulan terbelah ini, pada bahagian kedua dari tiga bahagian yang ada, iaitu: Hikayat Nabi Bercukur iaitu menceritakan mukjizat Nabi SAW, kisah bulan terbelah.
Hikayat ini telah diterjemahkan ke dalam rumi dengan tajuk Bunga Rampai Sastera Melayu Warisan Islam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Para pembesar itu mencabar baginda supaya menunjukkan mukjizat yang mereka mahu melihat sendiri melalui mata kepala walaupun mereka sepatutnya telah beriman dengan pengalaman perjalanan Nabi Muhamad sepanjang Israk dan Mikraj itu yang lalu, adalah benar.
Mereka berkata, "Jika kamu seorang yang benar (seorang nabi yang diutuskan oleh Allah) belahkan bulan yang sedang mengambang penuh pada malam ini kepada dua bahagian".
"Adakah jika permintaan ini dipenuhi, kalian berjanji untuk menerima dakwahku dan kita semua bersama-sama menyembah Allah, tuhan yang satu?" kata baginda pula.
Pembesar-pembesar itu pun menganggukkan kepala tanda bersetuju terhadap syarat yang Rasulullah berikan.
Lalu baginda pun berdoa dan memohon kepada Allah untuk membelah bulan sebagai perkara yang luar biasa untuk dijadikan tanda dan bukti kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi.
Sejurus kemudian tanpa disangka oleh para pembesar Quraisy itu mereka dapat menyaksikan sendiri bagaimana bulan mengambang penuh yang menghiasi langit pada malam itu bukan sahaja terbelah kepada dua bahagian.
Tetapi terpisah menjauhkan diri antara satu sama lain.
Separuh boleh dilihat di sebalik gunung di sebelah kiri dan separuh atau sebahagian bulan lagi dapat disaksikan berada pada sebalik gunung di sebelah kanan dengan keadaan masih bercahaya.
Bulan tidak lagi berbentuk bulat sebagaimana lazimnya!
Mereka yang menyaksikan dalam antara percaya dengan tidak, hampir-hampir tidak mendengar apabila baginda berkata; "Saksikanlah kejadian ini iaitu sebagai bukti kebenaran mukjizat yang dikurniakan Allah dan risalah kenabian yang Allah amanahkan kepadaku,"
Begitu pun setelah menyaksikan kejadian yang sungguh luar biasa itu pun, kalangan kafir Quraisy tidak menepati janji, mereka tidak mahu mempercayai apa tah lagi untuk menerima dakwah nabi.
Sedangkan kejadian bulan terbelah ini memang benar-benar berlaku dan wajib dipercayai. Walaupun ada yang mempertikaikannya kerana bertentangan dengan sains dan akal yang waras namun atas nama mukjizat, kelebihan yang diberikan kepada Rasulullah ia tidak dapat dibuktikan secara saintifik.
Sebagaimana kebanyakan mukjizat-mukjizat yang Allah berikan kepada para nabi sebelum Nabi Muhammad.
Ini termasuk mukjizat Nabi Isa a.s yang boleh menghidupkan orang yang telah mati, tiada sesiapa yang dapat pertikaikan lagi.
Walaupun pada hakikatnya, yang mati tetap akan mati, tidak mungkin akan hidup kembali.
Kejadian bulan terbelah dua ini sebenarnya disaksikan oleh seluruh penduduk Tanah Arab ketika itu malah sebenarnya seluruh semenanjung Tanah Arab termasuk negara-negara lain yang mengalami waktu malam pada hari kejadian tersebut.
Tetapi sayangnya, mereka yang meminta supaya ditunjukkan sebarang kejadian luar biasa, akhirnya mereka sendiri tidak mahu percaya walaupun bulan benar-benar telah terbelah di hadapan mata!
Kafir Quraisy sangat mengagumi melihatkan kejadian itu tetapi tetap tidak dapat menerima kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi.
Mereka percaya kejadian itu benar, tetapi dituduhnya pula baginda seorang ahli sihir yang berkebolehan untuk membelah bulan tersebut!
Ini sebagaimana disebutkan dalam al-Quran; Telah hampir datangnya masa itu dan bulan terbelah. Dan setelah mereka melihat suatu tanda (mukjizat) mereka berpaling lalu berkata: "Ini adalah sihir yang luar biasa" dan mereka mendustakannya dengan mengikut hawa nafsu sedang setiap yang berlaku ada ketetapannya. (al-Qamar: 1-3)
Sebenarnya tidak menghairankan jika mereka tidak percaya, malah membuat pelbagai pertikaian termasuk sihir dan sebagainya. Ini termasuklah Abu Jahal dan Abu Lahab juga mempertikaikan kejadian itu walaupun melihat dengan mata sendiri peristiwa bulan terbelah itu.
Kerana itulah sifat degil yang dimiliki oleh kalangan kafir Quraisy, yang tidak mahu menyertai baginda kerana bimbang akan dipersendakan oleh mereka yang lain.
Sedangkan mereka juga bertanyakan kepada kafilah-kafilah yang selamat sampai ke Kota Mekah selepas berdagang di luar kota, adakah para pedagang itu juga melihat kejadian bulan terbelah itu semasa dalam perjalanan pulang itu.
Bulan terbelah dua
Apabila mendengarkan itupun, kalangan kafir Quraisy masih enggan untuk mempercayai Nabi Muhammad. Sedangkan jika baginda melakukan sihir, tentunya yang disihir hanya penduduk Mekah atau kalangan kafir Quraisy itu sahaja tidak mungkin melibatkan sehingga ke kawasan luar Kota Mekah.
Walau apa pun, kejadian yang sedemikian luar biasa, sebagai tanda kekuasaan Allah yang Maha Agung dan Maha Esa, langsung tidak dapat diterima oleh musuh-musuh baginda.
Pastinya kekecewaan menjalar masuk ke hati baginda walaupun ia begitu menguatkan lagi keimanan kepada para pengikut baginda yang setia dan taat.
Para pengikut baginda malah sesiapa pun sebenarnya mungkin agak ketakutan apabila tanpa disangka bulan boleh terbelah dua, tetapi mujur sahaja objek yang menerangi malam itu bercantum semula.
Namun, pengajarannya menunjukkan bahawa Allah itu sangat berkuasa, boleh melakukan apa sahaja; kun faya kun!
Tiada tandingannya dan sebagai hamba-hamba-Nya sewajibnya kita sujud dan menginsafi diri.
Monday, May 24, 2010
NABI ADAM a.s
Ringkasan riwayat hidup
Setelah Allah s.w.t. menciptakan bumi, langit, malaikat-malaikatnya; Allah mahu mencipta pula sejenis makhluk lain yang akan menghuni dan mengisi bumi serta memeliharanya.Para malaikat ketika dikhabarkan oleh Allah akan kehendak-Nya menciptakan makhluk itu, mereka risau sekiranya kehendak Allah menciptakan makhluk yang lain itu akan menyebabkan kecuaian atau kelalaian mereka dalam ibadah dan menjalankan tugas atau kerana pelanggaran yang mereka lakukan tanpa disedari. Berkata mereka kepada Allah s.w.t.:
- "Wahai Tuhan kami! Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk lain selain kami,padahal kami selalu bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan mengagungkan nama-Mu tanpa henti-henti, sedangkan makhluk yang Tuhan akan ciptakan dan turunkan ke bumi itu, nescaya akan bertengkar satu dengan lain, akan saling bunuh-membunuh kerana berebut untuk menguasai kekayaan alam yang terlihat di atasnya dan terpendam di dalamnya, sehingga akan terjadilah kerosakan dan kehancuran di atas bumi yang Tuhan ciptakan itu."
- "Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku sendirilah yang mengetahui hikmat penguasaan Bani Adam atas bumi-Ku. Bila Aku telah menciptakannya dan meniupkan roh kepadanya, maka bersujudlah kamu di hadapan makhluk baru itu sebagai penghormatan dan bukan sebagai sujud ibadah, kerana Allah s.w.t. melarang hamba-Nya beribadah kepada sesama makhluk-Nya." [Al-Baqarah 2:30]
- Rencana utama: Penciptaan Adam
[sunting] Kesombongan Iblis
Ketika semua makhluk syurga sujud kepada keagungan Allah itu, Iblis membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah kerana merasa dirinya lebih mulia, lebih utama dan lebih agung dari Adam. Demikian halnya adalah disebabkan Iblis diciptakan dari unsur api sedangkan Adam hanyalah dari tanah dan lumpur. Kebanggaan dengan asal-usulnya menjadikannya sombong dan tidak layak untuk bersujud menghormati Adam seperti para malaikat yang lain, walaupun telah diperintah oleh Allah.Disebabkan oleh kesombongan, kebongkakan dan keengganan melakukan sujud yang diperintahkan, maka Allah menghukum Iblis dengan mengusirnya dari syurga dan mengeluarkannya daripada barisan malaikat disertai kutukan dan laknat yang akan melekat pada dirinya hingga hari kiamat. Di samping itu, dia telah dijamin sebagai penghuni neraka.
Iblis dengan sombongnya menerima hukuman Tuhan itu dan dia hanya bermohon agar kepadanya diberi kesempatan untuk hidup kekal sehingga hari kemusnahan alam. Allah memperkenankan permohonannya itu. Tanpa berterima kasih dan bersyukur atas pemberian jaminan itu, dia sebaliknya mengancam akan menyesatkan Adam, sebagai punca terusirnya dia dari syurga, dan akan datang kepada anak-anak keturunannya dari segala sudut untuk memujuk mereka meninggalkan jalan yang lurus dan mengikutinya menempuh jalan yang sesat.
Kemudian, Allah berfirman kepada Iblis yang terkutuk itu sambil melaknatnya. Allah berkata bahawa Iblis tidak akan berjaya menyesatkan hamba-Nya yang beriman dengan sepenuh hati.
[sunting] Pengetahuan Adam mengenai nama-nama benda
Allah hendak menghilangkan pandangan serong para malaikat terhadap Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmah-Nya yang menyatakan Adam sebagai penguasa bumi, maka diajarkan kepada Adam nama-nama benda yang berada di alam semesta, kemudian ditunjukkan benda-benda itu di hadapan para malaikat lalu mencabar malaikat menyebut nama itu untuk kalahkan Adam. Para malaikat tidak berdaya menyahut cabaran Allah untuk menyebut nama-nama benda yang berada di depan mereka dan mengaku ketidaktahuaan mereka dengan mengatakan yang mereka tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu kecuali apa yang Tuhan ajarkan mereka.Adam lalu diperintahkan oleh Allah untuk memberitahu nama-nama itu kepada para malaikat dan setelah diberitahu oleh Adam, berfirmanlah Allah kepada mereka bahawa Dia sahaja yang mengetahui rahsia langit dan bumi serta mengetahui apa yang zahir dan tersembunyi.
[sunting] Adam menghuni Syurga
Adam diberi tempat oleh Allah di syurga dan baginya diciptakanlah Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman hidupnya, menghilangkan rasa kesepiannya dan melengkapi keperluan fitrahnya untuk mengembangkan keturunannya. Menurut cerita para ulama, Hawa diciptakan oleh Allah dari salah satu tulang rusuk Adam yang disebelah kiri pada waktu baginda masih tidur sehingga ketika baginda terjaga, baginda melihat Hawa sudah berada di sisinya. Lalu baginda disoal oleh malaikat:"Wahai Adam! Apa dan siapakah makhluk yang berada di sampingmu itu?"Berkatalah Adam:"Seorang perempuan."Sesuai dengan fitrah yang telah diilhamkan oleh Allah kepadanya."Siapa namanya?"tanya malaikat lagi."Hawa",jawab Adam."Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk ini?",tanya malaikat lagi. Adam menjawab:"Untuk mendampingiku, memberi kebahagian kepadaku dan mengisi keperluan hidupku sesuai dengan kehendak Allah."
Allah berpesan kepada Adam:"Tinggallah engkau bersama isterimu di syurga, rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-limpah didalamnya, rasailah dan makanlah buah-buahan yang lazat yang terdapat di dalamnya sepuas hatimu dan nafsumu. Kamu tidak akan mengalami atau merasa lapar,dahaga ataupun letih selama kamu berada di dalamnya. Akan tetapi janganlah engkau makan buah dari pohon ini yang akan menyebabkan kamu celaka dan termasuk orang-orang yang zalim. Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah musuhmu dan musuh isterimu,ia akan berusaha memujuk kamu dan menyeret kamu keluar dari syurga sehingga hilanglah kebahagiaan yang kamu sedang nikmati ini."
[sunting] Iblis mula bertindak
Sesuai dengan ancaman yang diucapkan ketika diusir oleh Allah dari Syurga akibat keengganannya dan terdorong pula oleh rasa iri hati dan hasad dengki terhadap Adam yang menjadi penyebab sehinggakan dia dikutuk dan dilaknat selama-lamanya serta tersingkir dari singgahsana kebesarannya. Iblis mula menunjukkan rancangan untuk menyesatkan Adam dan Hawa yang sedang hidup berdua di syurga yang tenteram, damai dan bahagia.Dia menyatakan kepada mereka bahawa dia adalah kawan mereka dan ingin memberi nasihat dan petunjuk untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan mereka. Pelbagai cara dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis untuk mendapatkan kepercayaan Adam dan Hawa bahawa dia betul-betul jujur dalam nasihat dan memberi petunjuk kepada mereka. Dia membisikkan kepada mereka bahawa larangan Tuhan kepada mereka memakan buah-buah yang ditunjukkan itu adalah kerana dengan memakan buah itu mereka akan menjelma menjadi malaikat dan akan hidup kekal. Diulang-ulangi lpujukkan itu dengan menunjukkan akan harumnya bau pohon yang dilarang itu dan indah nian bentuk buahnya serta lazat rasanya. Akhirnya termakanlah pujuk rayu yang halus itu oleh Adam dan Hawa dan melanggari larangan Tuhan.
Allah mencela perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud:
"Tidakkah Aku mencegah kamu daripada mendekati pohon itu dan memakan buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang nyata."
Adam dan Hawa mendengar firman Allah itu sedarlah mereka bahawa mereka telah melanggari perintah Allah dan bahawa mereka telah melakukan suatu kesalahan serta dosa besar. Maka mereka menyesal dan berkatalah mereka:
"Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiayai diri kami sendiri dan telah melanggari perintah-Mu kerana terikut pujukan Iblis. Ampunilah dosa kami kerana nescaya kami akan tergolong orang-orang yang rugi bila Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami."
[sunting] Adam dan Hawa diturunkan ke Bumi
Allah telah menerima taubat Adam dan Hawa serta mengampunkan perbuatan yang mereka telah lakukan. Hal ini demikian telah melegakan dada mereka dan menghilangkan rasa sedih akibat kelalaian mereka terhadap peringatan Tuhan mengenai Iblis sehingga terjerumus menjadi mangsa pujukan dan rayunya yang manis namun beracun itu.Adam dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima pengampunan Allah dan selanjutnya akan menjaga jangan sampai tertipu lagi oleh Iblis dan akan berusaha agar tidak mengulangi pelanggaran yang telah dilakukan serta menimbulkan murka seta teguran Tuhan itu menjadi pengajaran bagi mereka berdua untuk lebih berhati-hati menghadapi tipu daya dan pujukan Iblis yang dilaknat itu. Harapan untuk tinggal terus di syurga yang telah pudar kerana perbuatan mereka melanggar perintah Allah, hidup kembali dalam hati dan fikiran Adam dan Hawa yang merasa kenikmatan dan kebahagiaan hidup mereka di syurga tidak akan terganggu oleh sesuatu dan bahawa redha Allah serta rahmatnya akan tetap melimpah di atas mereka untuk selama-lamanya. Akan tetapi Allah telah menentukan dalam takdir-Nya apa yang tidak terlintas dalam hati dan tidak terfikirkan oleh mereka. Allah s.w.t.yang telah menentukan dalam takdir-nya bahawa bumi yang penuh dengan kekayaan untuk diterokaiya, akan dikuasai kepada manusia keturunan Adam memerintahkan Adam dan Hawa turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hambanya yang bernama manusia itu. Berfirmanlah Allah kepada mereka:"Turunlah kamu ke bumi sebahagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kamu dapat tinggal tetap dan hidup disana sampai waktu yang telah ditentukan."
Turunlah Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru yang jauh berlainan dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan yang tidak akan berulang kembali.Mereka harus menempuh hidup di dunia yang fana ini dengan suka dan dukanya dan akan menurunkan umat manusia yang beraneka ragam sifat serta tabiat mereka yang berbeza-beza serta warna kulit dan kecerdasan otaknya.Umat manusia akan hidup berkelompok dan menjadi suku-suku serta bangsa-bangsa yang mana selah satu akan menjadi musuh yang lain saling bunuh-membunuh, aniaya-menganianya dan tindas-menindas sehingga Allah mengutuskan nabi-nabi-Nya dan rasul-rasul-Nya untuk memimpin hamba-hamba-Nya ke jalan yang lurus dan penuh damai , kasih sayang di antara sesama manusia untuk menuju jalan yang diredhai-Nya dan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.
[sunting] Tinggi Nabi Adam
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:| “ | Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Allah telah menjadikan Nabi Adam setinggi enam puluh hasta. Setelah menciptakannya Allah berfirman: Pergi dan berikan salam kepada kumpulan itu. Mereka adalah sekumpulan Malaikat yang sedang duduk, maka dengarlah jawapan mereka kepadamu kerana salam itu adalah salam penghormatan untukmu dan keturunanmu. Maka Nabi Adam pergi dan mengucapkan: السَّÙ„َامُ عَÙ„َÙŠْÙƒُÙ…ْ Mereka menjawab: السَّÙ„َامُ عَÙ„َÙŠْÙƒَ ÙˆَرَØْÙ…َØ©ُ اللَّÙ‡ِ Mereka menambahkan ÙˆَرَØْÙ…َØ©ُ اللَّÙ‡ِ Maka rupa bentuk setiap manusia yang akan memasuki Syurga adalah seperti Nabi Adam. Ketinggiannya enam puluh hasta. Setelah Nabi Adam, rupa bentuk (ketinggian) manusia terus berkurang hingga sekarang Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 5075 | ” |
[sunting] Kisah Adam dalam Al-Quran
Al-Quran menceritakan kisah Adam dalam beberapa surah di antaranya surah Al-Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan surah Al-A'raaf ayat 11 sehingga 25[sunting] Pengajaran yang terdapat dari kisah Adam
Bahawasanya hikmah yang terkandung dalam perintah-perintah dan larangan-larangan Allah dan dalam apa yang diciptakannya kadangkala tidak atau belum dapat dicapai oleh otak manusia bahkan oleh makhluk-Nya yang terdekat sebagaimana telah dialami oleh para malaikat tatkala diberitahu bahawa Allah akan menciptakan manusia - keturunan Adam untuk menjadi khalifah-Nya di bumi sehinggakan mereka seakan-akan keberatan dan bertanya-tanya mengapa dan untuk apa Allah menciptakan makhluk lain daripada mereka yang sudah taat, rajin beribadat, bertasbih, bertahmid dan mengagung- agungkankan nama-Nya.Bahawasanya manusia walaupun telah dikurniakan kecergasan berfikir dan kekuatan fizikal dan mental mereka tetap mempunyai beberapa kelemahan pada dirinya seperti sifat lalai, lupa dan khilaf. Seperti mana yang telah terjadi pada diri Nabi Adam walaupun baginda telah menjadi manusia yang sempurna dan dikurniakan kedudukan yang istimewa di syurga ia tetap tidak terhindar dari sifat-sifat manusia yang lemah itu. Baginda telah lupa dan mengingkari perintah Allah kepadanya mengenai pohon terlarang itu dan mengenai Iblis yang menjadi musuhnya dan musuh seluruh keturunannya, sehingga terperangkap ke dalam tipu daya dan terjadilah pelanggaran pertama yang dilakukan oleh manusia terhadap larangan Allah.
Bahawasanya seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat dan berbuat dosa tidakkah sepatutnya mereka berputus asa dari rahmat dan ampunan Tuhan asalkan mereka sedar akan kesilapan dan bertaubat serta tidak akan mengulanginya . Rahmat Allah dan maghfirah-Nya dapat mencakupi segala dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya kecuali syirik sekalipun dosa besar asalkan diikuti dengan kesedaran bertaubat dan pengakuan kesalahan.
Sifat sombong dan bongkak selalu membawa kepada kerugian dan kebinasaan. Lihatlah Iblis yang turun dari singgahsananya dilucutkan kedudukannya sebagai seorang malaikat dan diusir oleh Allah dari syurga dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat kepada dirinya sehingga hari Kiamat kerana kesombongannya dan kebanggaaannya dengan asal-usulnya sehingga dia menganggap dan memandang rendah Nabi Adam dan menolak untuk sujud menghormatinya walaupun diperintahkan oleh Allah SWT.
Thursday, May 20, 2010
BAYANGAN KIAMAT
Huru-hara kiamat
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
![]() |
| Gempa bumi yang berlaku hanyalah sedikit daripada gambaran keadaan kiamat yang dijanjikan oleh Allah. - gambar hiasan |
Imam Ahmad, al-Tirmizi dan al-Hakim meriwayatkan hadis daripada sahabat Umar r.a yang mengatakan bahawa: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin melihat hari kiamat yang seolah-olah dia melihat dengan mata kepalanya, maka bacalah: Idhashshamsu kuwwirat, idhassama'un fatarat dan idhassama'un shaqqat".
Firman Allah SWT: Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap).
Al-Maraghi berkata: Tanda-tanda datangnya hari Kiamat ialah ketika matahari digulung, cahayanya pudar dan hilang ketika dunia mengalami kehancuran sehingga tidak ada satu pun benda di alam lain yang boleh menggantikan benda-benda itu.
Firman Allah SWT: Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak.
Syed Qutb berkata: Gugurnya bintang dimaksudkan ia kelak akan terjatuh bertaburan dari sistem yang mengikatnya dan akan padam cahayanya. Allah SWT sahaja yang tahu bintang manakah yang akan jatuh bertaburan.
Adakah kumpulan bintang-bintang yang dekat dengan kita atau galaksi yang terdiri dari ratusan juta bintang atau seluruh bintang yang tidak diketahui bilangannya melainkan Allah SWT.
Namun, yang pastinya ada bintang-bintang yang akan gugur bertaburan pada hari kiamat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh berita yang benar ini. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja.
Firman Allah SWT: Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu)
Al-Maraghi berkata: Sehingga ikatannya terlepas dan terhempas di padang sahara dan terbang dibawa awan di atas kepala.
Firman Allah SWT: Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar.
Menurut al-Qurtubi bahawa tidak terurusnya unta bunting pada saat itu hanyalah sebagai perlambangan sahaja. Ini disebabkan pada hari kiamat sudah tidak ditemui unta bunting.
Tuhan menggambarkan huru-hara hari Kiamat bagaikan satu keadaan di mana seseorang berangan-angan mempunyai unta bunting 10 bulan yang nescaya unta itu akan dibiarkan sahaja kerana amat sibuk menjaga urusan dirinya sendiri yang lebih kritikal itu.
Firman Allah SWT: Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan.
Ibn kathir berkata: Dan umat manusia telah mengabaikan unta-unta pilihannya yang sedang bunting serta mengabaikan urusan kebajikannya sedangkan sebelum ini binatang itulah yang disayangi.
Ini kerana mereka disibukkan dengan hal yang lebih utama tanpa memikirkan kewujudan hari kiamat dan peristiwa lain yang akan berlaku.
Firman Allah SWT: Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur.
Al-Maraghi berkata: Ia juga bermaksud laut meluap. Perkara ini disebabkan airnya bergelombang bagaikan lautan api kerana di dalam perut bumi terdapat magma yang dapat menggegarkan permukaan bumi.
Pada ketika itu air mendidih dan terus berwap sehingga yang tinggal hanya bara api sahaja. Kajian saintifik telah menetapkan bahawa di perut bumi terdapat gunung-gunung berapi yang selalu bergejolak dan menimbulkan gempa bumi yang hebat boleh menghancurkan dataran bumi dan gunung-ganang di beberapa daerah.
Contohnya gempa bumi yang telah terjadi di Nessina, Itali pada tahun 1909 dan kemudian di Jepun. Dalam beberapa hadis disebutkan: "Bahawa laut itu adalah penutup neraka jahanam".
Firman Allah SWT: Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya.
Iaitu ketika jiwa itu kembali kepada jasadnya ketika memasuki awal kehidupan akhirat. Pendapat ini daripada Ikrimah, al-Dahhak dan al-Sya'bi.
Firman Allah SWT: Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh?
Syed Qutb berkata: Kerendahan jiwa manusia di zaman jahiliah mengakibatkan tersebarnya adat menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut malu dan miskin. Adat ini telah diceritakan oleh al-Quran sebagai merakamkan keburukan zaman jahiliah. Ketika inilah Islam datang menyelamatkan umat arab dari jurangnya yang dalam dan mengangkat darjat manusia seluruhnya.
Firman Allah SWT: Dan apabila surat-surat amal dibentangkan.
Ibn Kathir berkata: Oleh yang demikian, hendaklah seseorang memperhatikan dengan apa dia mengisi lembaran catatannya.
Mujahid berkata: Iaitu ditarik. Sedangkan al-Suddi berkata: Iaitu dibuka dan al-Dahhak mengemukakan: Mengelupas dan kemudian menghilang.
Firman Allah SWT: Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya.
Al-Maraghi berkata: Ketika langit sudah terbuka secara keseluruhan sehingga tidak ada lagi apa yang dikatakan atas dan bawah.
Firman Allah SWT: Dan apabila neraka dinyalakan menjulang.
Al-Qatadah berkata: Neraka itu dinyalakan oleh murka Allah SWT dan pelbagai kesalahan anak cucu Adam a.s.
Firman Allah SWT: Dan apabila syurga didekatkan.
Al-Dahhak, Abu Malik, al-Qatadah dan al-Rabi' bin Khaitsam berkata: Iaitu mendekati para penghuninya.
Firman Allah SWT: (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.
Al-Maraghi berkata: Pada saat seluruh kejadian yang telah diterangkan di atas berlaku, barulah setiap orang mengetahui amalannya yang diterima dan yang ditolak.
Kebanyakan manusia yang sewaktu hidupnya di dunia ini tertipu oleh pujuk rayu syaitan, pada hari kiamat kelak akan mendapati amalan-amalan mereka itu ditolak dan tidak dihargai Allah SWT. Bahkan amalan itu dijauhkan daripada Allah SWT serta dia mendapat kemurkaan-Nya.
Orang yang melakukan amalannya dengan riak untuk dilihat oleh orang ramai, maka amalannya itu hanya dianggap usaha yang sia-sia sahaja dan tidak diterima oleh Allah SWT.
Oleh sebab itu, kita wajib memandang perbuatan kita dengan kacamata Islam dan menimbangnya dengan timbangan yang benar. Allah SWT hanya menerima amalan yang lahir daripada hati yang berisi keimanan, penuh cinta dan mengharapkan keredaan-Nya serta melakukan kewajipan-Nya dengan bersungguh-sungguh.
Semoga kita bertambah keimanan berkenaan dengan hari kiamat dan seterusnya menjadikan kita golongan yang mendapat keredaan daripada-Nya. Amin.
PERANAN WANITA
Wanita pelengkap kaum Adam
Oleh NURUL HIMMAH KASSAN
irdina02@salam.uitm.edu.my
WANITA dalam Islam mempunyai martabat yang tersendiri malah penciptaannya mempunyai rahsia, hikmah serta keistimewaan. Mereka bukan sahaja sebagai pelengkap kehidupan kaum adam tetapi juga penerus generasi manusia di alam ini.irdina02@salam.uitm.edu.my
Namun keistimewaan wanita bukanlah sampai ke tahap untuk diagungkan dan kelemahan mereka juga bukan bererti untuk dipijak dan ditindas.
Melihat asal kejadiannya juga yang dicipta dari sebahagian rusuk Nabi Adam a.s, ia tidak dicipta dari kepala kerana mereka bukan makhluk yang perlu dijunjung dan tidak juga diciptakan dari kaki kerana mereka bukan untuk dihina. Tetapi mereka dicipta daripada anggota yang dekat di hati untuk sayangi dan dilindungi.
Namun sejarah wanita dalam pelbagai tamadun dunia memperlihatkan pelbagai evolusi. Sama ada di bumi Arab, India dan China, sejarah wanita menyaksikan mereka menjadi pemuas nafsu kaum lelaki, dinafikan haknya dalam pemilikan harta, pendidikan, sosial dan sebagainya.
Kehadiran Islam meletakkan kedudukan mereka bersesuaian dengan fitrah kejadiannya. Mereka memiliki kekuatan tersembunyi yang sangat diperlukan oleh kaum lelaki sebagai penyempurna kehidupan.
Justeru, buku Wanita dan Keluarga ini membincangkan peranan wanita dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, masyarakat dan rumah tangga. Ia boleh dijadikan panduan untuk kaum wanita dan juga lelaki.
Wanita pada hari ini juga sentiasa berhadapan dengan cabaran dan mampu mencabar golongan lelaki dalam pelbagai bidang terutama kerjaya.
Namun, pada masa yang sama tanggung jawab utama sebagai isteri dan ibu menuntut kepada perhatian dan kualiti yang sewajarnya. Buku ini juga mengupas peranan wanita dalam Islam termasuk aspek pemilihan jodoh, perkahwinan dan tanggung jawab serta peranan terhadap suami.
Contohnya, aspek ketakwaan, akhlak kepada suami serta kebijaksanaan dalam berkomunikasi. Walau bagaimanapun, buku ini bukan sahaja perlu dibaca oleh kaum wanita sebagai panduan berumah tangga tetapi juga kepada kaum lelaki dan suami supaya saling memahami peranan masing-masing.
Ini kerana kebahagiaan itu lahir dari kedua-dua pihak yang berfungsi serta berperanan mengikut lunas-lunas Islam.
Selain itu, buku berharga RM25 ini juga menyediakan panduan bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak dalam menghadapi cabaran semasa. Bermula saat kehamilan, pendidikan anak dalam kandungan, kelahiran dan seterusnya sehingga anak itu membesar dan menjadi dewasa.
Peranan ibu bapa tidak pernah terhenti selagi nyawa di kandung badan. Pelbagai budaya hedonisme yang melingkari kehidupan masyarakat pada hari ini memerlukan ibu bapa mempertingkatkan ilmu serta bijak menangani perubahan minda dan sikap anak-anak.
Justeru, tidak ada erti pencen dalam mendidik anak-anak bagi ibu bapa waima anak itu telah berkahwin.
Transisi dunia kanak-kanak kepada remaja juga perlu difahami oleh ibu bapa supaya mendekati mereka dengan lebih berhemah dan menjadikan mereka sebagai sahabat.
Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 33 adalah antara panduan yang perlu dijadikan panduan dalam pendidikan anak-anak: Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutlah suatu hari (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah SWT adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.
Wednesday, May 12, 2010
ISRAK DAN MIKRAJ
Israk dan Mikraj bukti kebesaran Allah
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
![]() |
| DAHULUNYA dikatakan Rasulullah menambat buraq di tembok buraq ini semasa Israk dan Mikraj. Kini ia dikuasai oleh Yahudi dan dikenali OLEH Yahudi dan DIKENALI sebagai tembok menangis tempat untuk mereka beribadat terutama memohon ampun dari tuhan. |
Sungguh sedih, kecewa dan hampa apabila ada di kalangan umat Islam sendiri tidak mempercayai paling bersejarah dalam Islam, iaitu Israk dan Mikraj.
Seperti yang tersiar di Utusan Malaysia Khamis lalu, satu laporan telah dibuat, yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengguna laman sosial, Facebook yang mempersendakan peristiwa itu.
Mereka yang tidak mempercayai peristiwa itu sama dengan golongan kafir Quraisy yang tidak menerima kebenaran peristiwa tersebut.
Ketika Rasulullah SAW bercerita kepada mereka mengenai peristiwa yang baru ditempuhi itu, tidak ada kalangan kafir Quraisy mahu mempercayainya. Malah baginda terus diejek sebagai orang gila dan sebagainya.
Berbeza pendirian yang ditunjukkan oleh sahabat baik baginda iaitu Abu Bakar selepas mendengarkan sendiri dari Rasulullah mengenai peristiwa perjalanan malam tersebut.
Beliau berkata; "Engkau benar! Aku naik saksi bahawa engkau adalah Rasul utusan Allah."
Sejak itulah Abu Bakar mendapat gelaran As-Siddiq yang bermaksud; yang membenarkan. Langsung tidak ada sebarang rasa ragu beliau terhadap Rasulullah.
Apabila ditanya oleh kaum kafir Quraisy bagaimana Abu Bakar boleh mempercayai peristiwa yang dialami oleh Rasulullah itu sedangkan mereka yang selalu ke Palestin memerlukan masa dua bulan untuk perjalanan pergi dan balik ke sana, Abu Bakar berkata: "Aku mengakui kebenaran Muhmmad pada perkara yang jauh lebih besar daripada itu (Israk dan Mikraj).
"Aku beriman kepada Muhammad mengenai wahyu yang turun dari langit dalam masa sekelip mata sahaja.
"Kalau itupun aku percaya, kenapa pula aku tidak percaya Muhammad boleh pergi Baitul Maqdis dan pulang semula ke Mekah dalam masa satu malam sahaja?"
Begitupun baginda memahami kesukaran mana-mana pihak memahami dan mempercayai secara tuntas mengenai peristiwa yang baginda alami itu.
Lalu baginda menerangkan dan menceritakan kepada mereka mengenai keadaan di Palestin (Baitul Maqdis) iaitu terutama Masjid Al Aqsa termasuklah struktur binaan, tiang, tingkap dan sebagainya dan kawasan sekitarnya.
Baginda juga memberitahu mengenai sebuah rombongan dagang yang dipintas oleh baginda ketika dalam perjalanan pulang ke Mekah selepas turun dari Sidratul Muntaha.
Rombongan dagang itu kemudiannya membenarkan kata-kata baginda itu ekoran mereka mendengar suara dari langit yang memberitahu mengenai unta mereka yang lari kerana ketakutan ternampak buraq yang ditunggangi oleh Rasulullah.
Walaupun telah diceritakan dengan begitu jelas dengan bukti-bukti yang dibawa oleh Rasulullah namun golongan kafir Quraisy tetap berdegil dan langsung tidak mahu mempercayai baginda apatah lagi untuk beriman terhadap Allah, tuhan yang Esa.
Hal ini sememangnya menguji keimanan seseorang. Pelbagai persoalan tidak dapat dielakkan timbul mengenai kebenaran kejadian Israk dan Mikraj itu.
Perkataan Israk berasal dari kata asas saraa yang bererti berjalan. Ia merujuk perjalanan di muka bumi pada waktu malam oleh Nabi Muhammad dengan roh dan jasad (bukannya mimpi) dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjid Al Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.
Seterusnya menyaksikan baginda yang ditemani oleh malaikat Jibrail (dalam bentuk manusia) naik ke langit dari Masjid Al Aqsa itu. Dari situ baginda juga singgah ke Baitul Makmur dan kemudiaannya ke Sidratul Muntaha, dekat kursi Allah SWT dan kemudian turun semula ke bumi dengan menaiki semula kenderaannya iaitu Buraq.
Kesemua perjalanan itu seperti yang kita ketahui mengandungi pelbagai peristiwa terutama detik bermulanya umat Islam disyariatkan mendirikan solat.
Allah memperlihatkan
Justeru, segala peristiwa ini merupakan kejadian yang menjadi hak mutlak kepada Allah untuk mengadakannya, iaitu dengan segala ilmu dan kekuasaan milik-Nya.
Secara bijaksana Allah memperlihatkan kekuasaan mutlak milik-Nya itu dengan awalan kalimat Subhanal-ladzii (Maha Suci Allah) iaitu dalam ayat surah al-Israk ayat 1 yang menjadi dalil naqli bagi mengesahkan kebenaran mengenai kejadian yang besar itu.
Firman Allah, Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Oleh kerana kedua-dua peristiwa iaitu Israk dan Mikraj itu sangat menakjubkan setiap umat Islam pasti menyebut subhanallah berulang kali kerana yakin dengan bentuk mukjizat yang Allah kurniakan kepada baginda SAW.
Ia memerlukan satu bentuk keimanan yang sangat tinggi sehingga ada yang menyebutnya sebagai haqqul yaqin (keyakinan atas kemutlakan Allah Yang Maha Berkuasa) bagi sesiapa yang dapat mempercayai kedua-dua kejadian ini di saat ada yang mendakwa kononnya kisah Israk dan Mikraj adalah salah satu daripada kisah-kisah Israiliyyat atau hadis-hadis yang bersifat mauduk dan sebagainya.
Apatah lagi apabila disebutkan Rasulullah menaiki buraq, iaitu berasal dari perkataan barq bererti kilat. Jadi adakah kelajuan yang dicapai oleh buraq itu menyamai lajunya kilat? Iaitu sebahagian dari fenomena alam yang dari aspek sainsnya merupakan satu gelombang elektromagnet dengan kadar kelajuan maksimumnya adalah seperti kelajuan cahaya.
Jika kita membacanya di mana-mana pelbagai kisah diceritakan mengenai buraq. Malah terdapat juga gambaran-gambaran lukisan mengenainya.
Sama ada mempunyai sumber yang sahih mahupun tidak, tetapi buraq berasal daripada cahaya bagi membolehkan ia bergerak melebihi kepantasan cahaya. Iaitu 'sekelip mata' pantasnya.
Namun, kita percaya soal buraq ini seadanya tanpa perlu berlebih-lebihan kerana yang pasti tanpa menaiki kenderaan ini tidak mungkin baginda Rasulullah mampu melalui satu perjalanan yang jauh dan kembali semula ke Mekah dalam tempoh hanya sebahagian malam.
Ia berlaku pada malam 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah, tahun ke-11 Nabi Muhammad dilantik menjadi rasul.
Allah kurniakan kepada Nabi Muhamad akan kejadian yang begitu besar maknanya ini sebagai memujuk kembali hati Rasulullah yang begitu berduka ekoran pelbagai musibah berturut-turut menimpa baginda, iaitu:
lPeristiwa diboikot dan dipulau oleh kaum kafir Quraisy selama tiga tahun yang menyebabkan seluruh kaum keluarga dan pengikut baginda teruk menderita.
l Kehilangan dua insan tersayang, iaitu kewafatan bapa saudara baginda, Abu Talib bin Mutalib yang banyak melindungi baginda dari gangguan kaum kuffar Mekah dan disusuli kewafatan isteri kesayangan, Siti Khadijah yang terlalu banyak berkorban.
l Apabila dakwah baginda ditolak mentah-mentah malah baginda diserang sehingga mengalami cedera ketika baginda mula untuk berdakwah di luar di lingkungan kota Mekah, iaitu apabila baginda pergi ke Taif.
Umat Islam yang tidak mempercayai peristiwa ini bukan berdasarkan kejahilan tetapi kerana sikap sombong mereka terhadap kemuliaan Al Quran.
Sunday, May 9, 2010
TAUBAT IKHLAS
Ingatan bagi pelupa: Niat ikhlas bertaubat diterima meskipun tak sempat dilaksana
2010/05/10
AL-BUKHARI dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri, Nabi bersabda bermaksud: “Sebelum zaman kamu, pernah ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang, lalu dia bertanyakan seorang yang paling alim pada masa itu. Dia pun ditunjukkan kepada seorang rahib. Dia berjumpa rahib itu. Kepada rahib dia memberitahu bahawa dia sudah membunuh 99 orang, apakah kemungkinan taubatnya masih diterima.
Orang alim itu menjawab: Ya, masih diterima. Siapakah yang boleh menghalangi antara seseorang dan taubatnya? Sekarang, pergilah engkau ke kampung ini dan ini, kerana di sana ada orang yang beribadah kepada Allah. Beribadahlah kepada Allah bersama mereka. Janganlah engkau kembali ke kampungmu, kerana kampungmu itu kampung yang teruk.
Orang itu pun berangkat. Ketika sedang dalam perjalanan, tiba-tiba maut datang menjemputnya. Melihat kejadian ini, bertengkarlah malaikat pembawa rahmat dan malaikat yang bertugas menyeksa.
Malaikat rahmat berkata: Dia datang dalam keadaan sudah bertaubat secara ikhlas kerana Allah. Malaikat azab berkata: Benar, namun dia belum membuat kebaikan sama sekali?
Seterusnya, datanglah seorang malaikat lain yang menyerupai dirinya dalam bentuk manusia untuk mengadili pertengkaran mereka. Malaikat itu berkata: Jika begitu, ukurlah akan kamu jarak dari sini ke kampung yang ditinggalkan dan ke kampung yang hendak dituju lelaki itu; ke kampung mana yang lebih dekat, bererti dialah yang berhak ke atas orang ini.
Kedua-duanya lalu sama-sama mengukur dan ternyata kedudukan orang itu lebih dekat pada kampung yang akan di tujunya, akhirnya malaikat rahmat pun membawa orang itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
JUDI TETAP HARAM
Agama
Judi tetap haram walaupun berlesen
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
2010/05/10
Cadangan Timbalan Menteri benar pertaruhan Piala Dunia cemari imej negara Islam JIKA minggu lalu saya mengupas cadangan Senator Ahmad Hussin di Dewan Negara supaya bapa kepada bayi yang dibuang dikenakan hukuman 'kasi' bagi mengajar lelaki terbabit supaya bertanggungjawab, minggu ini saya mengupas mengenai pertaruhan haram.
Katanya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen, pertaruhan haram tetap dijalankan tanpa pemantauan pihak berkuasa. Awang Adek juga dilaporkan berkata, dengan pengawalan kerajaan aktiviti pertaruhan dapat dilakukan lebih teratur dan pada masa sama kerajaan akan mendapat hasil yang boleh digunakan termasuk untuk pembangunan pelbagai sukan di negara ini.
Saya bimbang dengan cadangan sebegini apatah lagi ia datang daripada seorang Timbalan Menteri beragama Islam. Jelaslah cadangan ini langsung tidak mengambil kira kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan malah meminggirkan jati diri kebangsaan bagi rakyat Malaysia yang berteraskan kepada Agama Persekutuan itu.
Rasional pertimbangan kerajaan dalam meluluskan lesen pertaruhan sebegini amat dibimbangi dan tidak bersandarkan kepada kehendak masyarakat Islam arus perdana. Akan muncul suatu ketika nanti sebahagian masyarakat ketagih berjudi sehingga sanggup melakukan apa saja bagi memenuhi tabiat buruk mereka itu. Tidak kurang juga nanti sesetengah golongan menjadi muflis kerana kalah judi.
Menghalalkan perkara yang jelas haram termasuk dalam kategori mengubah hukum Allah walaupun dengan pengeluaran lesen. Walaupun ada kemungkinan lesen yang akan dikeluarkan itu dikenakan syarat bahawa orang Islam tidak dibenarkan berjudi tetapi dasar negara hendaklah digarap dengan mengambil kira kedudukan agama Islam dan sumpah Yang Di-Pertuan Agong mempertahankan Islam pada setiap masa.
Cukuplah dengan pusat perjudian yang wujud di negara ini dan dua pusat perjudian di negara jiran yang baru dibuka. Jangan ditambah lagi dengan lesen perjudian lain. Sedangkan perjudian yang dilesenkan sekarang pun tidak dapat dipastikan sama ada berjaya dijauhi umat Islam, apatah lagi pertaruhan yang berselindung di bawah nama sukan seperti kejohanan bola sepak Piala Dunia ini.
Seharusnya, jika Timbalan Menteri itu sudah mengakui kegagalan kementerian membanteras perjudian haram, segala usaha patut ditumpukan ke arah melipatgandakan program membanteras pertaruhan dan perjudian haram.
Bukan dengan memberi lebih banyak lesen perjudian yang akhirnya akan menambahkan lagi implikasi negatif kepada negara. Saya merasa pelik dengan pendekatan diambil Timbalan Menteri itu berkaitan isu ini. Apakah semata-mata ingin mengaut cukai dan pendapatan yang lebih, pihak kerajaan rela wang haram digunakan bagi pembangunan masyarakat dan negara?
Berjudi bukan amalan yang sihat. Ia menjadikan seseorang ketagih judi, membuang masa, mengabaikan keluarga serta punca kepada gejala sosial dan jenayah setempat. Masyarakat akan menjadi terumbang-ambing jika lesen perjudian diberikan secara berleluasa.
Oleh itu, cadangan sebegini sudah tentunya tidak dialu-alukan masyarakat Islam. Bukan itu saja, ia pasti mencemarkan imej negara yang terkenal sebagai model Negara Islam kepada dunia.
Perjudian yang diberi lesen dan perjudian tidak mendapat lesen - kedua-duanya haram di sisi Islam. Umat Islam tidak harus terpedaya dengan pengeluaran lesen ini. Jika dikatakan lesen diberikan kepada orang bukan Islam saja, namun kesannya tetap akan dirasai oleh orang Islam.
Apabila ia menjadi budaya, orang ramai akan gagal melihat betapa hina dan jelek perjudian itu. Mungkin sesetengah pihak akan melihat perjudian sebagai norma masyarakat. Apabila perkara sedemikian berlaku, maka orang ramai tidak lagi berasa segan silu untuk berjudi atau bertaruh.
Cukuplah dengan ketidakseimbangan sosiobudaya dan masyarakat sekarang. Ia akan menjadi lebih punah jika institusi keluarga dan masyarakat pula dirobek dengan kesan perjudian. Saya menyarankan kerajaan mengkaji semula pertimbangan mengeluarkan lesen pertaruhan baru ini. Walaupun mungkin kerajaan memperoleh pendapatan yang lebih, ia hanya akan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Bagi saya, perjudian harus dibanteras hingga ke akar umbi bukan diberikan lesen bagi menghalalkan operasinya. Sekali lagi saya merayu kerajaan mengkaji semula pertimbangan memberikan lesen bagi pertaruhan atau perjudian ini. Tidak ada faedah seseorang itu berjudi. Adalah lebih baik baginya membuat kerja halal dan mendapat manfaat daripada usaha dan titik peluh sendiri. Tiada jalan pintas untuk kaya.
Saturday, May 8, 2010
Hati menjadi beku, mati akibat ketawa melampau
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
2010/05/08
SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan atau penderitaan. Ketawa pula selalu menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasai. Islam tidak melarang umatnya melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Ini bagi mengelakkan umat Islam dipandang rendah martabatnya oleh orang lain. Ini menyingkap sirah Rasulullah ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah.
Jelas daripada maksud ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan. Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku keadaan yang melampau.
Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami. Rasulullah bersabda bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)
Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.
Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.
Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan akan lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.
Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.
Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia.
Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.
DUSTA
Berkata dusta antara tanda sifat individu munafik
Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
2010/05/08
Insan dapat menjaga lidah daripada berbohong termasuk golongan mukmin berakhlak mulia ANTARA perbuatan sangat ditegah Islam ialah berdusta. Jika minum minuman keras dikatakan induk segala keji maka berdusta pula faktor utama kerosakan akhlak dan kesesatan. Dusta atau bohong juga dikategorikan Rasulullah sebagai tanda orang munafik. Ini jelas seperti sabda Baginda: “Tanda kemunafikan ada tiga, iaitu jika berkata berdusta, jika berjanji mengingkari dan jika dipercayai berkhianat.” (Hadis riwayat Muttafaqalaih)
Hindari perbuatan berbohong itu malah jika kita tinjau dalam masyarakat Melayu ada pepatah berbunyi: “Siakap senohong, gelama, ikan duri, cakap bohong, lama-lama mencuri.”
Begitulah pekanya masyarakat kita dalam soal mendidik anak bagi mengelakkan perbuatan berbohong itu.
Umar al-Khattab ada berkata: “Kejujuran yang membuatku dihina itu lebih aku cintai daripada kebohongan yang membuatku dihormati. Namun, sedikit sekali yang melakukannya.”
Orang yang selalu berdusta dalam percakapan seharian itu melambang manifestasi iman yang goyah. Apa tidaknya, orang yang senang berdusta akan menganggap dosa itu remeh malah boleh dianggap sebagai insan yang tidak takut azab sengsara neraka.
Dusta adalah antara sifat mazmumah yang wajib ditinggalkan kerana ia amat dilarang Allah berdasarkan firman-Nya: “Mahukah Aku khabarkan kepada kamu kepada siapakah syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan itu) sedangkan kebanyakan beritanya adalah dusta.” (Surah asy-Syu’araa: 221-223)
Demikian juga dengan penegasan Allah ini: …Serta jauhilah perkataan-perkataan dusta.” (Surah al-Hajj: 30) Berpandukan ayat Allah itu, jelas bahawa perbuatan berdusta sangat ditegah Islam.
Sesungguhnya, berdusta dikategorikan sebagai dosa besar iaitu selepas dosa syirik (menyekutukan Allah) dan menderhakai ibu bapa. Ini seperti ditegaskan Rasulullah bermaksud: “Nabi pernah menyatakan berkenaan dosa-dosa besar. Kata baginda, menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berdusta.” (Hadis riwayat Bukhari)
Jadi, taraf dusta itu di tempat keempat dalam kategori besar. Namun manusia mudah lupa dan jarang peduli kepada dirinya sendiri mengenai dosa besar yang wajib dijauhi. Kita sangat prihatin dan peka kepada daging babi dan lebih melebihkan takut daging itu lebih daripada takutkan Allah. Demikian juga dengan rasuah. Tanpa ragu ada segelintir manusia bergelumang dengan dosa merasuah dan menerima rasuah. Masya-Allah, kita nampaknya boleh memilih dosa besar. Ada yang boleh dilakukan dan ada yang sangat takut. Fikir dan renungilah ayat Allah dalam al-Quran berkenaan dusta supaya lidah kita menjadi kelu untuk berbicara di luar batasan agama.
Sebenarnya bercakap dusta itu membawa seseorang mukmin bercirikan munafik. Hal ini jelas seperti sabda Rasulullah: “Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka ia adalah orang munafik. Sesiapa (juga) yang memiliki salah satu daripada empat sifat tersebut bererti dia bersifat kemunafikan sehinggalah dia meninggalkannya. Empat sifat tersebut ialah apabila bercakap dia berdusta, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila pertikaian dia melampaui batas.” – (Hadis riwayat Bukhari).
Demikian penegasan Rasulullah mengenai ciri munafik dan sifat suka berdusta itu satu daripadanya. Justeru, sama-sama kita hindari dengan memelihara lidah sebaik mungkin dengan tutur kata jujur dan bermanfaat.
Banyak impak negatif dusta terhadap seseorang insan. Antaranya, membawa punca rasa kurang senang atau kemarahan orang yang mendengarnya. Juga, si pendusta apabila kemudian terbukti segala tutur katanya dusta, ini akan menghilangkan kewibawaannya pada pandang orang lain. Misalnya jika dia seorang ayah dan kerap berdusta pada isteri dan anak maka lambat laun mereka bersikap kurang hormat sekali gus mengikis kualitinya sebagai ayah berwibawa. Jika dia pemimpin negara atau masyarakat tetapi katanya penuh dusta maka orang ramai tidak akan menghormatinya lagi sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan disokong.
Jika dia seorang peniaga dan urusan jualannya diselaputi dusta maka ia akan mendatangkan kesan buruk bukan saja kurang dipercayai pelanggan tetapi apa yang pasti Allah akan membalasnya dengan azab di akhirat.
Rasulullah bersabda: “Keimanan seseorang itu tidak sempurna sehinggalah dia meninggalkan pembohongan sama ada semasa bergurau senda atau berbalah.” (Diriwayatkan Abu Hurairah)
Jelas, seorang insan yang dapat mengawal dan memelihara lidahnya daripada mengucapkan kata dusta sebaliknya sentiasa menuturkan kata yang baik dan berfaedah maka dia tergolong dalam mukmin yang berakhlak mulia. Ingatlah, melalui lidah kita akan mendapat bahagia dan melalui lidah juga sengsara dunia dan azab neraka akan menimpa kita.
JANGAN ALPA DAN LALAI
Jangan alpa persiapan hari pembalasan
DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
(Siri Kesembilan)
(Siri Kesembilan)
![]() |
| selain berusaha kita disuruh bermunajat kepada Allah memohon keampunan dan kebaikan hidup di dunia dan akhirat. - gambar hiasan |
Mukadimah
Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menerangkan keadaan al-Quran sebagai kitab yang mengandungi peringatan dan nasihat. Ia dengan menerangkan kesanggupan manusia untuk memanfaatkannya apabila menghendaki seterusnya Dia mengemukakan keterangan bahawa tidak layak bagi manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak dan berkedudukan tinggi berlagak sombong.
Iaitu mengikut hawa nafsunya tanpa memikirkan kesudahan di kemudian hari malah tidak bersyukur terhadap kenikmatan yang dianugerahkan kepadanya.
Manusia dijadikan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian melalui peringkat yang tertentu dalam pelbagai bentuk. Manusia tinggal di bumi hanya untuk sementara waktu, kemudian kembali menjadi tanah dan dikuburkan sehingga tiba saat yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja.
Firman Allah SWT: Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? Ibn Abbas berkata: Terkutuklah manusia dan itulah jenis manusia yang suka berbuat dusta kerana terlalu banyak mendustakan hari akhirat.
Ibn Juraij mengatakan: Sungguh parah kekafirannya, sedangkan Ibn Jarir berkata: Apakah yang membuatnya menjadi kafir dan mendustakan hari akhirat?
Firman Allah SWT: (tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? Dari air mani diciptakan-Nya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab. Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih).
Ibn Abbas berkata: Dia memudahkan keluarnya dari perut ibunya. Syed Qutb berkata: Allah memudahkan jalan kehidupan atau jalan hidayah. Di samping itu, memberikannya kemudahan bertindak dengan sifat-sifat, bakat dan kesediaan yang ada pada dirinya sam ada untuk perjalanan hidupnya atau untuk mencari hidayah dalam hidupnya.
Sesudah tamat perjalanannya, ia akan kembali kepada kesudahan yang diterima oleh setiap yang hidup tanpa pilihan dan tanpa kesempatan melarikan dirinya.
Saidina Ali r.a berkata: Mengapa manusia banggakan diri sedangkan dia telah keluar melalui saluran kencing dua kali?
Firman Allah SWT: Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan. Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).
Al-Maraghi berkata: Kemudian Allah SWT menggenggam nyawanya dan tidak membiarkan begitu sahaja berbaring di atas bumi untuk dimakan oleh binatang buas, tetapi dimuliakannya dan jenazahnya ditanam sebagai penghormatan.
Apabila Allah SWT menghendaki akan dibangkitkan semula dari kuburnya untuk dihitung dan diberi pembalasan pada suatu saat yang hanya Allah SWT sendiri mengetahuinya.
Dalam perkataan idhasha, tersirat pengertian bahawa hari kiamat itu tidak dapat diketahui oleh sesiapa pun kecuali Allah SWT.
Dia sahaja yang mengetahuinya, berkuasa untuk mempercepatkan atau melewatkan kedatangannya, berkuasa menghidupkan, mematikan, membangkitkan dan mengumpulkannya serta memberi balasan terhadap amal yang telah dikerjakannya sama ada baik mahupun buruk.
Firman Allah SWT: Janganlah hendaknya ia kufur ingkar lagi! Sebenarnya ia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepada-Nya.
Syed Qutb berkata: Manusia umumnya, baik secara individu mahupun generasi belum lagi melaksanakan apa yang diperintahkan Allah SWT hingga akhir hayat.
Itulah saranan yang disampaikan oleh ungkapan tidak sekali-kali begitu. Manusia masih cuai, tidak menunaikan kewajipannya, tidak mengingatkan asal-usul kejadiannya dengan ingatan yang sebenar, tidak bersyukur dan tidak membuat persediaan menghadapi hari pembalasan.
Beginilah keadaan manusia pada keseluruhannya sedangkan kebanyakan mereka pula menolak dan menentangnya.
Firman Allah SWT: (Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana Kami mentadbirkannya).
Ibn Kathir berkata: Terkandung juga dalil tumbuhnya tumbuhan dari bumi yang gersang sebagai bukti jasad-jasad yang sebelumnya berupa tulang belulang yang hancur di tanah boleh dihidupkan kembali.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian Kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan.
Ibn Kathir berkata: Kami tempatkan air di sana yang masuk ke lapisan tanah selanjutnya menumbuhkan tanaman di permukaan bumi.
Firman Allah SWT: Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, dan buah anggur serta sayur-sayuran.
Sebahagian ulama menafsirkan qadbhan sayur-sayuran yang dimakan dengan mentah oleh binatang sedangkan Hasan Basri berkata: "Ia bermaksud makanan binatang".
Firman Allah SWT: Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, dan taman-taman yang menghijau subur. Al-Maraghi berkata: Gambaran demikian ini mengandungi petunjuk bahawa kenikmatan yang dapat diambil dari pohon-pohon itu tidak hanya terbatas kepada buahnya sahaja.
Bahkan ia dapat digunakan untuk membuat perabot rumah, bangunan dan alat-alat kraftangan dan industri. Kayunya juga dapat dimanfaatkan untuk memasak makanan dan digunakan untuk melebur besi dan benda-benda logam yang lain.
Firman Allah SWT: Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.
Syed Qutb berkata: Demikianlah kisah makanan dan semuanya adalah ciptaan tangan kudrat yang menciptakan manusia itu sendiri. Manusia tidak boleh mendakwa ada kekuasaan yang lain turut serta dalam penciptaan itu baik di peringkat perkembangannya, biji-bijian dan benih yang ditabur bukan dari ciptaan dan rekaannya.
Mukjizat dalam ciptaan benih-benih di luar kefahaman dan tanggapan manusia. Tanah di hadapannya sama sahaja, tetapi benih dan bijian berlainan dan masing-masing mengeluarkan buahnya di petak bumi yang berdekatan.
Semuanya dijirus dengan air yang sama tetapi dengan kudrat Ilahi telah mempelbagaikan tumbuh-tumbuhan dan buahan itu dan memelihara dalam biji benih yang kecil itu segala sifat-sifat ibunya yang melahirkannya. Kemudian sifat ini dipindahkan kepada anak yang dilahirkannya.
Semua sifat itu tersembunyi daripada pengetahuan manusia. Mereka tidak mengetahui rahsianya dan tidak pula membuat apa-apa keputusan terhadapnya. Mereka tidak pula dirundingi dalam mana-mana urusannya. Inilah kisah makanan yang dikeluarkan dengan kekuasaan Allah SWT.
Penutup
Terlalu banyak kurniaan Allah SWT dan nikmat-Nya kepada hamba-Nya. Dengan kurniaan tersebut, maka mudahlah meneruskan kehidupan.
Ini menunjukkan kasih sayang dan rahmat Allah kepada manusia, dan sewajarnya dibalas dengan ketaatan dan kepatuhan mutlak kepada-Nya.
Subscribe to:
Posts (Atom)



Cetak