Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menerangkan kenikmatan yang disediakan kepada orang yang beriman kepada-Nya dan rasul-Nya serta melakukan kebaikan yang diperintahkan, Dia menunjukkan apa yang disediakan kepada penderhaka sebagai balasan dosa-dosa mereka.
Dia juga menjelaskan keadaan orang kafir menghadapi orang yang beriman di dunia dan bagaimana orang beriman menghadapi orang kafir di akhirat kelak sebagai balasan terhadap sikap mereka di dunia dahulu.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman.
Syed Qutub berkata: Mereka mengejek dan ketawakan orang mukmin sama ada kerana keadaan hidup mereka yang miskin dan derita, kerana kelemahan mereka untuk menolak ejekan dan sendaan itu atau kerana orang-orang mukmin itu tidak menghiraukan tindak tanduk mereka yang jahil.
Semuanya itu menimbulkan gelak ketawa orang yang berdosa. Mereka telah menjadikan orang mukmin itu bahan ketawa, ejekan, gurauan dan sendaan.
Mereka melakukan tindakan jahat ke atas mereka kemudian ketawa melihat kesusahan yang menimpa orang yang beriman itu. Namun, orang mukmin tetap sabar dan mematuhi adab sopan.
Firman Allah SWT: Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya).
Al-Maraghi berkata: Apabila orang kafir melalui perkumpulan orang mukmin, mereka mengetawakan orang mukmin serta memburukkan dan mengejek mereka.
Firman Allah SWT: Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira. Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!
Ibn Kathir berkata: Maksudnya ketika orang yang berbuat dosa itu kembali ke rumah mereka, maka mereka akan kembali dalam keadaan sedang gembira. Maksudnya apa pun yang mereka cari pasti mereka mendapatkannya.
Oleh yang demikian, mereka tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan kepada mereka. Justeru, mereka sibuk menghina dan dengki kepada orang mukmin. Maksudnya mereka berada dalam agama yang bukan agama mereka.
Firman Allah SWT: Pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang yang beriman itu!
Al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak mengutus orang kafir untuk menjadi pengawas kepada orang yang beriman. Dia juga tidak memberi kekuasaan kepada mereka untuk mengamati perbuatan mereka serta mengajar yang batil dan yang benar.
Oleh itu, mereka tidak boleh mencela apa yang mereka percayai sebagai kepercayaan sesat menurut fikiran mereka yang rosak itu. Mereka hanya diperintah memikirkan diri sendiri sehingga dapat memperbetulkan kesalahan mereka.
Jika mereka dapat mengerjakan perkara itu pasti mereka mampu mengerjakan kewajipannya dalam kehidupan di dunia ini. Kemudian Allah SWT menyebutkan perlakuan orang beriman kepada mereka pada hari kiamat, untuk menghiburkan mereka daripada penderitaan dan keteguhan serta balasan kerana kesabaran mengembangkan cahaya iman.
Firman Allah SWT: Maka pada hari ini, orang yang beriman pula tertawakan orang yang kafir itu. Sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya).
Syed Qutub berkata: Maksudnya pada hari ini orang kafir dihijabkan daripada Allah SWT, mereka terseksa dengan hijab yang menghilangkan sifat insaniah mereka, kerana itu mereka dimasukkan ke dalam neraka dengan penuh sendaan dan penghinaan.
Firman Allah SWT: (untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): Bukankah orang yang kafir itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?
Ibn Kathir berkata: Maksudnya apakah orang-orang kafir itu akan diberi ganjaran atau tidak atas apa yang mereka lakukan terhadap orang mukmin berupa caci maki dan penghinaan?
Maksudnya mereka telah diberi balasan dengan azab yang paling lengkap lagi sempurna.
Syed Qutub berkata: Al-Quran mewujudkan hati-hati yang disediakan untuk memikul amanah dakwah. Hati itu pastilah tabah, kuat dan ikhlas iaitu ia berjuang dan berkorban bukan mengharapkan sesuatu faedah dunia.
Ia tidak menunggu sesuatu yang lain melainkan akhirat. Ia tidak mengharapkan sesuatu apa melainkan keredaan Allah SWT.
Itulah hati yang bersedia untuk meneruskan perjalanan mereka dalam kepayahan, kesusahan, pengharaman, keseksaan, pengorbanan dan penderitaan tanpa mengharapkan balasan yang cepat di bumi dalam bentuk kemenangan dakwah, kejayaan Islam dan keunggulan umat Islam.
Apabila hati ini telah diwujudkan iaitu hati yang tahu di dalam perjalanan mereka di bumi tiada kewajipan lain di hadapan mereka melainkan hanya masa balasan dan penyelesaian di antara yang benar dan batil.
Apabila hati ini telah diwujudkan dan Allah mengetahui kejujuran niat mereka untuk melaksanakan janji setia mereka, barulah kemenangan di bumi datang kepada mereka dan Allah menjadikan kemenangan itu amanah bukan kemenangan untuk mereka, tetapi membolehkan mereka memikul amanah agama Allah SWT.
Hati-hati seperti inilah yang layak menunaikan amanah Allah yang tidak menjanjikan apa-apa keuntungan. Hati-hati inilah yang tidak mengharapkan apa-apa faedah dunia.
Mereka benar-benar jujur kepada Allah SWT sejak mereka tahu satu-satunya balasan untuk mereka adalah keredaan Allah SWT.
Semua ayat yang menyebutkan kemenangan dunia diturunkan di Madinah selepas itu iaitu selepas persoalan kemenangan ini berada di luar program orang mukmin dan di luar harapan dan cita-cita mereka kemudian.
Kemenangan itu sendiri datang kerana kehendak Allah SWT mahukan agama ini tegak di alam realiti hidup manusia dalam bentuk amali yang boleh dilihat generasi seterusnya.
MAN WAS CREATED TO OBEY THE COMANMENT OF ALLAH AND TO FOLLOW THE WAY OF HIS MESENGGER.
Thursday, July 15, 2010
Monday, July 12, 2010
Isyrak Mikraj
Memahami Israk dan Mikraj
![]() |
| Kefarduan solat yang dianugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW pada peristiwa Israk Mikraj. - Gambar hiasan |
SEPERTI yang telah kita mukadimahkan pada minggu lepas, untuk beberapa waktu kita akan memanfaatkan ruangan ini untuk menggali mutiara-mutiara hikmah daripada kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) tulisan al-Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki.
Oleh kerana kita sedang melalui bulan-bulan dan hari-hari yang istimewa dalam Islam, eloklah kita meneliti beberapa isi buku ini yang bertujuan memperbetulkan kefahaman kita tentang perbuatan menyambut hari-hari kebesaran dalam Islam.
Kita sedang berada dalam 'musim' Israk dan Mikraj. Kefahaman dan sikap masyarakat dalam melalui hari-hari ini memang berbeza malah mungkin juga bercanggah. Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya 27 Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan kalendar Islam.
Tidak kurang yang menyambut kedatangannya dengan penuh gembira dan bersemangat dengan mengadakan pelbagai majlis sambutan. Ada pula yang mempertikaikan kewajaran menyambutnya, seperti mana mereka menolak sambutan hari-hari kebesaran Islam yang lain.
Di akhir-akhir kitab Mafahim ini, pengarangnya ada menyentuh isu sambutan hari-hari kebesaran Islam. Di situ beliau berkongsi keyakinannya tentang kesepakatan ulama bahawa perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan khusus adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.
Beliau menghuraikan lagi, "Bagi saya, memanfaatkan peluang berkumpul bersama umat Islam dengan berdoa, bertawajjuh kepada Allah SWT, menagih limpahan anugerah, kebaikan dan keberkatan daripada-Nya adalah lebih besar daripada faedah hanya mengingati atau mengenang peristiwa tersebut.
Menggunakan kesempatan berkumpul bersama orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan dorongan kepada mereka ke arah kebaikan, adalah lebih utama daripada menegah, menolak dan mengingkari perkumpulan mereka dengan alasan yang tidak mendatangkan sebarang faedah.
Apa yang dapat disaksikan, penolakan dan pengingkaran mereka itu tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat. Setiap kali bertambah kuat pengingkaran dan penolakan terhadap perbuatan mereka, semakin bertambah kuat pula penerimaan mereka dan semakin tegas pegangan mereka terhadapnya hinggakan seolah-olah orang yang melarang perbuatan mereka merupakan pendorong dan penggalak untuk mereka melakukannya tanpa disedari.
Para cendekiawan dari kalangan ahli fikir dan pendakwah sangat berkeinginan untuk mendapatkan sebuah tempat mengumpulkan orang ramai bagi menyebarkan pandangan-pandangan mereka dan mengajak untuk menyertai barisan mereka.
Oleh kerana itulah, kamu dapat lihat, mereka selalu datang ke taman, kelab dan tempat-tempat umum yang biasa terdapat banyak perkumpulan orang untuk melakukan apa yang mereka ingin lakukan. Kami lihat, umat Islam sering berkumpul di dalam majlis-majlis bersempena hari kebesaran Islam dengan penuh minat, keazaman dan kesungguhan. Justeru, apakah yang wajib kita lakukan terhadap mereka?
Sesungguhnya menyibukkan diri dengan kerja-kerja mengingkari dan menolak hukum perkumpulan mereka dan sebagainya adalah sia-sia sahaja, bahkan merupakan suatu kebodohan dan kejahilan. Ini kerana, kita hanya mensia-siakan peluang besar dan melenyapkan kesempatan yang tidak mungkin menjadi baik sesuatu masa dengannya, kecuali dalam kesempatan seperti ini. Justeru, manfaatkanlah perhimpunan besar ini." (H. 961-963, edisi terjemahan Yayasan Sofa)
Sikap yang disarankan oleh pengarang kitab ini adalah lebih selamat dan selari dengan sangka baik terhadap Islam dan umatnya berbanding sikap menentang atau membidaahkannya. Beliau turut menulis khusus tentang keistimewaan Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra' wa Mi'raj Khayr al-Bariyyah (edisi terjemahannya ada dikeluarkan oleh murid kanannya di Malaysia, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan).
Buku ini menyarankan agar menggunakan semaksima mungkin peringatan terhadap Israk dan Mikraj itu untuk meningkatkan makrifah dan kasih terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Apakah ada perkara yang lebih baik bagi kita selain daripada itu? Dan betapa banyakkah rahsia-rahsia agung dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berpotensi membantu kita menggapainya.
Berkongsi keriangan dan kenangan manis Israk dan Miraj dengan insan yang paling kita kasihi ini terlebih wajar kita amalkan apabila mengenang bahawa anugerah Allah SWT kepada Baginda SAW juga adalah kurniaan bagi kita sebagai umatnya. Kefarduan solat yang dianugerahkan kepada Nabi pada malam tersebut juga adalah bagi kita dan merupakan keizinan untuk kita umat Muhammad SAW untuk turut berhubung dan berbicara dengan Allah SWT pada setiap hari.
Kemuliaan dan keutamaan Nabi SAW di sisi Allah SWT yang terzahir di malam itu tidaklah terbatas kepada diri Baginda SAW malah melimpah kepada kita umatnya sehingga kita dinobatkan sebagai umat yang paling mulia dan akan lebih dahulu memasuki pintu Syurga berbanding umat Nabi-nabi yang lain. Allahu akbar wa lillahil hamd!
Menginsafi betapa banyaknya faedah, rahsia, cahaya dan hikmah di sebalik sambutan hari-hari kebesaran Islam seumpama Israk dan Mikraj ini, tidak hairanlah jika Allah SWT sendiri telah menyenaraikannya sebagai antara tugas utama pengutusan para Rasul seperti yang tergambar dalam firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 5.
Semoga kita semua tersenarai di kalangan mereka yang benar-benar menunaikan hak peristiwa yang agung ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)
