PURE ANGLES

THE WORLD IS TEMPORARY AKHIRAT IS FOREVER

THE WORLD IS TEMPORARY AKHIRAT IS FOREVER
THE LIVING MUST DIE

VEIL

THE VALUABLE MUST BE KEPT INTACT

Tuesday, June 29, 2010

BAIAH AQABAH

Baiah Aqabah

Perjalanan sejarah atau sirah Nabi Muhammad SAW sama ada sukar atau mudah untuk diikuti amat penting untuk kita ketahui. Malah kalau dapat didalami dan dikaji dengan lebih lanjut lalu dihayati, itu adalah lebih baik.
Ini termasuklah kisah mengenai Baiah atau Perjanjian Aqabah. Secara ringkasnya ia merupakan perjanjian damai atau sumpah setia yang berlaku antara Nabi Muhammad dengan beberapa penduduk Yathrib (nama lama Madinah Al Munawarrah) yang datang menemui baginda di sebuah tempat atau bukit bernama Aqabah. Bukit itu terletak beberapa kilometer di utara Kota Mekah iaitu berdekatan dengan Mina.
Kita jangan keliru kerana terdapat sebuah perkampungan di timur laut Tebing Barat, Palestin juga dikenali sebagai Aqabah yang dirampas daripada penduduk Palestin untuk dijadikan sebuah kem tentera besar oleh rejim Israel.
Sebuah bandar di selatan Jordan juga bernama Aqabah, di samping kita menyebut Aqabah iaitu perbuatan ibadat haji iaitu melontar batu di Jamrah yang ketiga, iaitu Jamrah Al Aqabah.
Perjanjian Aqabah merupakan perjanjian pertama antara baginda dengan mana-mana pihak, sama ada dari dalam mahupun luar Kota Mekah. Ia melibatkan satu persefahaman untuk memberi ketaatan kepada Rasulullah.
Namun dari aspek sosial dan politik penduduk Arab, melakukan perjanjian damai antara kabilah dan sebagainya adalah biasa dilakukan. Telah menjadi adat dan tradisi mereka saling menyatakan sumpah setia kawan atau bersahabat baik bagi mencapai pelbagai tujuan dan matlamat tertentu.
Namun yang paling penting kedua-dua belah yang membuat perjanjian ini ikhlas untuk berbaiah, iaitu bukan kerana dipaksa dan sebagainya.
Di sebalik perjanjian ini, tentunya kita tertanya-tanya mengapa penduduk Yathrib dengan begitu mudah dan tanpa sebarang masalah menerima dakwah daripada Rasulullah? Hanya dengan satu pertemuan sahaja dengan baginda. Mereka seolah-olah seperti telah lama menunggu saat menerima dakwah baginda itu.
Persoalan ini memerlukan kita melihat situasi yang berlaku di Yathrib itu sendiri yang menjadi sebab musabab utama mengapa mereka dengan mudah memeluk Islam.
Komposisi penduduk di Yathrib terdiri daripada tiga kelompok yang besar, iaitu kaum Yahudi dan dua lagi kaum Arab yang terdiri daripada suku kaum al Khazraj dan Aus.
Kedua-dua puak Arab ini merupakan kaum yang menyembah berhala di Yathrib manakala kaum Yahudi dengan agama Yahudi mereka sebagai golongan ahli kitab yang mempercayai Kitab Taurat.
Menurut Hussien Haekal dalam bab Ikrar Aqaba dalam buku Sejarah Hidup Muhammad, kaum Yahudi dan dua suku Arab di Kota Yathrib itu tidak pernah hidup aman.
Persengketaan demi persengketaan yang membawa peperangan sering berlaku.
Sejarah mereka agak panjang iaitu melibatkan pelbagai punca terutamanya soal agama.
Menurut Haekal, apabila puak Nasrani yang mendiami Syam yang berada di bawah pengaruh Rom Timur (Baizantin) mereka terlalu membenci dan memarahi kaum Yahudi tanpa mengira di mana puak itu berada.
Mereka percaya kaum itu telah menyebab kematian Nabi Isa A.S, iaitu dengan cara menyeksa dan menyalib baginda.
Lalu kaum Yahudi yang sekian lama mendiami Yathrib turut menjadi mangsa kemarahan kaum Nasrani itu.
Namun cubaan untuk menghapuskan terus kaum Yahudi itu tidak pernah berjaya sehinggalah puak Nasara meminta bantuan daripada suku Arab Khazraj dan Aus, untuk membalas dendam.
Pun begitu, bukan sedikit penduduk Yahudi yang telah dibunuh oleh gabungan dua pihak yang bersekutu ini.
Namun kedudukan Yahudi semakin terancam apabila suku Arab itu sendiri ingin menyingkir kaum itu keluar dari Yathrib bagi membolehkan mereka memonopoli dan menguasai sepenuhnya bandar yang makmur dan subur dengan pelbagai hasil pertanian dan perniagaan itu.
Namun Yahudi yang menyedari niat suku Arab itu bertindak pantas dan bijak dengan melancarkan gerakan memecah belahkan suku-suku Arab tersebut.
Caranya dengan menciptakan pelbagai provokasi dan fitnah yang menyebabkan suku Khazraj dan Aus sering bertelagah sesama sendiri.
Gerakan licik dan halus oleh Yahudi itu benar-benar mengembalikan semula kedudukan mereka di Yathrib.
Soal keagamaan turut menyumbang kepada berlakunya perjanjian Aqabah apabila kaum Yahudi di Yathrib yang merupakan golongan ahli kitab dan mempercayai tuhan yang satu (monoteisme), sering mengejek-ejek dan mencela perbuatan suku Arab Khazraj dan Aus menyembah berhala.
Kaum Yahudi sering memperingatkan kepada mereka mengenai ramalan dalam Taurat mengenai kelahiran seorang nabi yang akan menyelamatkan kaum Yahudi.
Namun mereka tidak bermaksud untuk mengajak suku-suku Arab itu memeluk agama mereka.
Maka apabila suku Arab di Yathrib mendengar dan mengetahui mengenai seorang Nabi telah muncul di Kota Mekah menyebabkan mereka akhirnya mengakui kebenaran ramalan dari kitab Perjanjian Lama Yahudi itu.
"Agaknya inilah nabi yang disebut-sebut oleh orang Yahudi. Jadi, jangan sampai orang Yahudi mengetahui mengenai Nabi Muhammad itu dan kita mesti mendahului mereka untuk menerima kedatangan Nabi ini.
"Biar kita yang beriman terlebih dahulu, sebelum kaum Yahudi beriman terhadap Nabi itu, jika tidak hujung pangkal nasib kita tiada siapa yang tahu," kata puak-puak Al Khazraj dan Aus itu.

Tuesday, June 1, 2010

NABI BELAH BULAN

Kisah bulan terbelah dua

UMAT di zaman Rasulullah SAW dianggap sangat bertuah. Tidak sahaja mereka berpeluang bertemu dengan baginda namun yang lebih beruntungnya lagi dapat melihat sendiri segala kejadian-kejadian mukjizat yang Allah kurniakan kepada baginda.
Ini termasuklah kejadian bulan terbelah dua, antara yang benar-benar berlaku dalam usaha Nabi Muhammad untuk menyakinkan kebenaran dakwah baginda itu.
Jika kita menjadi pengikut baginda ketika itu, tentu segala kejadian mukjizat yang berlaku akan menambahkan lagi keimanan atau kepercayaan kepada Allah SWT.
Namun, perkara seperti ini sukar diterima oleh puak-puak kafir Quraisy. Mereka tetap dengan sikap degil mereka.
Walaupun peristiwa Israk dan Mikraj tidak ada sebarang kesangsian, dengan segala macam bukti dan keterangan daripada al-Quran namun kedegilan tetap makin menebal!
Malah mereka sendiri kadang kala meminta baginda tunjukkan bukti! Kononnya dengan bukti tersebut mereka akan menyerah kalah kepada kebenaran.
Namun yang sebenarnya mempunyai niat yang busuk, kononnya Rasulullah tidak akan mampu menunjukkan sebarang bukti kerana yang diminta semuanya bersifat luar biasa dan tidak masuk dek akal.
Andai, bukti tersebut gagal ditunjukkan oleh baginda maka semakin galaklah mereka memusuhi dan mengeji Nabi.
Namun baginda tetap menyahut apa juga cabaran, asalkan mereka akhirnya percaya kepada keesaan Allah yang Maha Agung.
Iaitu pada suatu hari, sekumpulan pembesar Quraisy itu datang menemui baginda, iaitu di antara mereka termasuklah Al Walid Al Mughirah, Abu Jahal Hisham, Al As Wail, Al Aswad Muthalib, An Nadhru Al Harith.
Peristiwa ini dikatakan berlaku sebelum baginda melakukan hijrah ke Madinah dan diriwayatkan dalam banyak catatan sejarah sehinggalah mengikut sastera Melayu klasik sendiri, kisah bulan terbelah dua ini menjadi kisah-kisah penglipur lara yang popular.
Dalam Hikayat Nur Muhammad dan Nabi Bercukur dan Nabi Wafat misalnya, ada diceritakan mengenai kisah bulan terbelah ini, pada bahagian kedua dari tiga bahagian yang ada, iaitu: Hikayat Nabi Bercukur iaitu menceritakan mukjizat Nabi SAW, kisah bulan terbelah.
Hikayat ini telah diterjemahkan ke dalam rumi dengan tajuk Bunga Rampai Sastera Melayu Warisan Islam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Para pembesar itu mencabar baginda supaya menunjukkan mukjizat yang mereka mahu melihat sendiri melalui mata kepala walaupun mereka sepatutnya telah beriman dengan pengalaman perjalanan Nabi Muhamad sepanjang Israk dan Mikraj itu yang lalu, adalah benar.
Mereka berkata, "Jika kamu seorang yang benar (seorang nabi yang diutuskan oleh Allah) belahkan bulan yang sedang mengambang penuh pada malam ini kepada dua bahagian".
"Adakah jika permintaan ini dipenuhi, kalian berjanji untuk menerima dakwahku dan kita semua bersama-sama menyembah Allah, tuhan yang satu?" kata baginda pula.
Pembesar-pembesar itu pun menganggukkan kepala tanda bersetuju terhadap syarat yang Rasulullah berikan.
Lalu baginda pun berdoa dan memohon kepada Allah untuk membelah bulan sebagai perkara yang luar biasa untuk dijadikan tanda dan bukti kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi.
Sejurus kemudian tanpa disangka oleh para pembesar Quraisy itu mereka dapat menyaksikan sendiri bagaimana bulan mengambang penuh yang menghiasi langit pada malam itu bukan sahaja terbelah kepada dua bahagian.
Tetapi terpisah menjauhkan diri antara satu sama lain.
Separuh boleh dilihat di sebalik gunung di sebelah kiri dan separuh atau sebahagian bulan lagi dapat disaksikan berada pada sebalik gunung di sebelah kanan dengan keadaan masih bercahaya.
Bulan tidak lagi berbentuk bulat sebagaimana lazimnya!
Mereka yang menyaksikan dalam antara percaya dengan tidak, hampir-hampir tidak mendengar apabila baginda berkata; "Saksikanlah kejadian ini iaitu sebagai bukti kebenaran mukjizat yang dikurniakan Allah dan risalah kenabian yang Allah amanahkan kepadaku,"
Begitu pun setelah menyaksikan kejadian yang sungguh luar biasa itu pun, kalangan kafir Quraisy tidak menepati janji, mereka tidak mahu mempercayai apa tah lagi untuk menerima dakwah nabi.
Sedangkan kejadian bulan terbelah ini memang benar-benar berlaku dan wajib dipercayai. Walaupun ada yang mempertikaikannya kerana bertentangan dengan sains dan akal yang waras namun atas nama mukjizat, kelebihan yang diberikan kepada Rasulullah ia tidak dapat dibuktikan secara saintifik.
Sebagaimana kebanyakan mukjizat-mukjizat yang Allah berikan kepada para nabi sebelum Nabi Muhammad.
Ini termasuk mukjizat Nabi Isa a.s yang boleh menghidupkan orang yang telah mati, tiada sesiapa yang dapat pertikaikan lagi.
Walaupun pada hakikatnya, yang mati tetap akan mati, tidak mungkin akan hidup kembali.
Kejadian bulan terbelah dua ini sebenarnya disaksikan oleh seluruh penduduk Tanah Arab ketika itu malah sebenarnya seluruh semenanjung Tanah Arab termasuk negara-negara lain yang mengalami waktu malam pada hari kejadian tersebut.
Tetapi sayangnya, mereka yang meminta supaya ditunjukkan sebarang kejadian luar biasa, akhirnya mereka sendiri tidak mahu percaya walaupun bulan benar-benar telah terbelah di hadapan mata!
Kafir Quraisy sangat mengagumi melihatkan kejadian itu tetapi tetap tidak dapat menerima kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi.
Mereka percaya kejadian itu benar, tetapi dituduhnya pula baginda seorang ahli sihir yang berkebolehan untuk membelah bulan tersebut!
Ini sebagaimana disebutkan dalam al-Quran; Telah hampir datangnya masa itu dan bulan terbelah. Dan setelah mereka melihat suatu tanda (mukjizat) mereka berpaling lalu berkata: "Ini adalah sihir yang luar biasa" dan mereka mendustakannya dengan mengikut hawa nafsu sedang setiap yang berlaku ada ketetapannya. (al-Qamar: 1-3)
Sebenarnya tidak menghairankan jika mereka tidak percaya, malah membuat pelbagai pertikaian termasuk sihir dan sebagainya. Ini termasuklah Abu Jahal dan Abu Lahab juga mempertikaikan kejadian itu walaupun melihat dengan mata sendiri peristiwa bulan terbelah itu.
Kerana itulah sifat degil yang dimiliki oleh kalangan kafir Quraisy, yang tidak mahu menyertai baginda kerana bimbang akan dipersendakan oleh mereka yang lain.
Sedangkan mereka juga bertanyakan kepada kafilah-kafilah yang selamat sampai ke Kota Mekah selepas berdagang di luar kota, adakah para pedagang itu juga melihat kejadian bulan terbelah itu semasa dalam perjalanan pulang itu.
Bulan terbelah dua
Masing-masing mengakui ada melihat kejadian bulan terbelah dua itu dan sangat tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah berlaku.
Apabila mendengarkan itupun, kalangan kafir Quraisy masih enggan untuk mempercayai Nabi Muhammad. Sedangkan jika baginda melakukan sihir, tentunya yang disihir hanya penduduk Mekah atau kalangan kafir Quraisy itu sahaja tidak mungkin melibatkan sehingga ke kawasan luar Kota Mekah.
Walau apa pun, kejadian yang sedemikian luar biasa, sebagai tanda kekuasaan Allah yang Maha Agung dan Maha Esa, langsung tidak dapat diterima oleh musuh-musuh baginda.
Pastinya kekecewaan menjalar masuk ke hati baginda walaupun ia begitu menguatkan lagi keimanan kepada para pengikut baginda yang setia dan taat.
Para pengikut baginda malah sesiapa pun sebenarnya mungkin agak ketakutan apabila tanpa disangka bulan boleh terbelah dua, tetapi mujur sahaja objek yang menerangi malam itu bercantum semula.
Namun, pengajarannya menunjukkan bahawa Allah itu sangat berkuasa, boleh melakukan apa sahaja; kun faya kun!
Tiada tandingannya dan sebagai hamba-hamba-Nya sewajibnya kita sujud dan menginsafi diri.