Buruk sangka amalan jahiliah boleh memutuskan silaturahim
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com
2010/05/06
DALAM dunia yang penuh tohmah dan buruk sangka ini, manusia sering bertelingkah kerana tidak mengetahui kebenaran. Ada segolongan kecil yang bijak melakukan fitnah kerana hasad dengki dan terlalu cintakan dunia sehingga umat Islam sering bermusuhan sesama sendiri, sekali gus merendahkan nilai dan maruah agama di mata bukan Islam. Ia juga menjadi sebab umat Islam semakin jauh daripada ukhuwah dan silaturahim berasaskan takwa malah merenggangkan persaudaraan. Sebagai penganut agama yang menganjurkan umatnya hidup rukun dan damai, kita dilarang melakukan perkara yang menjejas dan merosakkan hubungan baik sesama manusia. Allah berfirman (Surah Al-Hujuraat: 12) bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”
Buruk sangka dengan hasrat mempengaruhi minda orang lain supaya turut membenci saudara seagama adalah perbuatan jahiliah kerana tamakkan dunia dan terlalu cintakan isinya yang menjadi bahan bakar neraka. Banyak yang boleh diteladani daripada kisah sahabat Rasulullah dan sejarah sehingga boleh menggadaikan negara dan agama akibat buruk sangka. Ini patut menjadi iktibar setiap umat Islam yang cintakan agama. Jika tidak kerana buruk sangka menjadi padah kepada umat Islam, mustahil Allah memperincikan betapa penting menyelidiki maklumat yang disampaikan seseorang kerana bimbang kita turut mempercayai dan menjadi penyampai kepada fitnah terhadap orang lain.
Allah mengingatkan kita dalam al-Quran (Surah Al Hujuraat: 6) bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya.”
Kerana buruk sangka, menyebabkan putus silaturahim. Sebab itu, perpaduan umat Islam akan goyah malah menjadi laba kepada musuh yang sentiasa menantikan saat kehancuran manusia yang dibimbing dengan perintah dan larangan Allah. Satu demi satu keistimewaan umat Islam yang tiada bandingannya diselongkar dan dibinasakan dengan janji syurga di dunia mengakibatkan janji Allah mengenai hari pembalasan dipandang sebelah mata. Perkataan dusta yang dibawa orang fasik pula dikitabkan menjadi rujukan utama.
Untuk menjauhkan diri daripada terus melakukan fitnah terhadap setiap umat Muhammad, kita hendaklah membataskan prasangka buruk terhadap seseorang setakat dalam hati tanpa meluahkan atau memberitahu orang lain, apatah lagi meyakinkan orang lain supaya mempunyai perasaan serupa. Sebagai manusia, kita mempunyai kata hati yang lahir daripada pelbagai faktor dalaman diri sendiri yang boleh menerajui tindak tanduk kita seperti berprasangka.
Allah berfirman (Surah Al-Hujuraat: 12) bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Jika demikian keadaan mengumpat maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani.”
Justeru, prasangka yang boleh mendatangkan dosa wajib dijauhi jika kita sayangkan kehidupan sesudah mati. Sebaliknya, tukarkan buruk sangka dengan kasih sayang dan belas kasihan sesama umat bersaudara kerana itulah asas sebuah kehidupan berkeluarga yang berpaksikan Adam dan Hawa.
Sangkaan buruk itu akan memakan diri sendiri.Barang siapa mendedahkan keburukan orang lain di Dunia ini maka Allah akan mendedahkan keburukannya di Akhirat kelak.
ReplyDelete